PETALING JAYA: Ant International memperkukuh komitmen pelaburan jangka panjangnya di Malaysia menerusi pertumbuhan Pusat Perniagaan Digitalnya yang kini menempatkan lebih 1,000 bakat tempatan.
Langkah itu selari dengan pengenalan penyelesaian pembayaran baharu dan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi membantu peniaga tempatan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Pertumbuhan pusat ini menjadi pemangkin kepada strategi syarikat untuk menghubungkan lebih 150 juta peniaga global dengan dua bilion akaun pengguna di seluruh dunia.
Presiden Ant International, Douglas Feagin berkata, pusat perniagaan ini berperanan penting dalam memacu inovasi kewangan dan perdagangan AI bagi membantu perniagaan bersaiz besar mahupun kecil meningkatkan daya tahan ekonomi mereka.
“Melalui pusat ini, kami dapat bekerjasama dengan lebih ramai rakan kongsi untuk menyampaikan penyelesaian teknologi kewangan (fintech) yang inovatif dan dipercayai di pasaran paling pesat berkembang di dunia,” katanya semasa taklimat eksekutif baru-baru ini.
Beliau berkata, kehadiran fizikal di Malaysia menyokong ekosistem global Ant International yang semakin berkembang merangkumi 300 kaedah pembayaran di 220 pasaran.
Ini termasuk integrasi sistem QR nasional seperti DuitNow di Malaysia, SGQR (Singapura) dan QRIS (Indonesia).
Pusat Perniagaan Digital ini juga menyokong pembangunan teknologi keselamatan seperti AI Shield yang mampu mengenal pasti transaksi berisiko tinggi dengan ketepatan melebihi 95 peratus, sekali gus memastikan ekosistem perdagangan yang lebih selamat.
Selain itu, ia menjadi nadi kepada pembangunan aplikasi EPOS360 yang kini tersedia untuk peniaga di Malaysia melalui TNG eWallet bagi membantu operasi harian perniagaan kecil secara digital.
“Rangkaian yang lebih luas dan mendalam melalui pusat ini bermakna kami boleh menawarkan akaun global tanpa sempadan yang dikuasakan AI, menjadikan impian perniagaan tempatan untuk ‘lahir secara global’ (born global) satu realiti,” katanya.
Ant International sebelum ini telah memulakan operasi pusat tersebut pada tahun 2024, yang kini berfungsi sebagai hab penting dalam memacu ketersambungan kewangan di rantau Asia, Amerika Latin dan EMEA (Eropah, Asia Barat dan Afrika). – UTUSAN










