PETALING JAYA: Saham IJM Corporation Bhd. dan Sunway Bhd. jatuh dalam dagangan awal hari ini menjelang tarikh akhir untuk pemegang saham IJM menerima tawaran pengambilalihan Sunway semasa penutupan pasaran hari ini.
Pada jam 12.29 tengah hari tadi, IJM susut tiga sen kepada RM2.29, manakala Sunway turun empat sen kepada RM4.99.
Pada 12 Januari 2026 lalu, Sunway mencadangkan tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat untuk memperoleh keseluruhan 3.51 bilion saham dalam IJM pada harga tawaran RM3.15 sesaham.
Permodalan Nasional Bhd. pada 16 Mac lalu memutuskan untuk tidak menerima tawaran pengambilalihan sukarela Sunway untuk 13.5 peratus pegangannya.
Sementara itu, sumber yang berkaitan mendakwa Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang memegang lebih 20 peratus dalam IJM juga menolak tawaran pengambilalihan tersebut pada minggu lalu.
IJM dalam kenyataannya Jumaat lalu mengulangi seruannya kepada para pemegang saham untuk merujuk kepada Pekeliling Nasihat Bebas bertarikh 13 Mac, di mana penasihat bebas, M&A Securities Sd.n Bhd. menyimpulkan bahawa tawaran itu ‘tidak adil dan tidak munasabah’.
“Lembaga itu mengulangi cadangannya agar para pemegang saham menolak tawaran tersebut. Tawaran itu juga mesti dinilai dalam konteks strategiknya yang betul,” katanya.
IJM berkata, ia berada pada peringkat yang berbeza dalam kitaran pelaburannya, dengan aset utama seperti konsesi infrastruktur, beralih daripada fasa pembangunan kepada fasa operasi.
Syarikat menekankan bahawa perbandingan yang hanya berdasarkan margin semasa atau pendapatan jangka pendek tidak sepenuhnya mencerminkan nilai atau peningkatan masa depannya.
Oleh itu, para pemegang saham dinasihatkan untuk menilai tawaran Sunway berdasarkan Pekeliling Nasihat Bebas, pengumuman rasmi syarikat dan nilai asas, kedudukan strategik dan prospek IJM. – UTUSAN










