Ringgit berpotensi capai 3.9480 sedolar AS minggu ini

Ringgit berpotensi capai 3.9480 sedolar AS minggu ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Mata wang negara terus mengukuh dalam persekitaran geopolitik yang tidak menentu, apabila naik 1.6 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu lalu dan berpotensi mencapai 3.9480 pada minggu ini.

Pada pukul 5 petang semalam, ringgit ditutup tinggi kepada 3.9520/3.9570 berbanding 3.9730/3.9770 pada sesi dagangan akhir Isnin.

Menurut data dari Bloomberg dan Bank Islam, mata wang tempatan menambah nilai sebanyak 2.3 peratus berbanding dolar AS dari awal tahun sehingga kini.

Ringgit juga menokok berbanding euro, pound Sterling, dolar Singapura dan yen Jepun, masing-masing sebanyak 2.5 peratus, 2.3 peratus, 1.4 peratus dan 3.9 peratus bagi tempoh yang sama.

Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn. Bhd., Mohd. Sedek Jantan berkata, dalam jangka pendek hingga sederhana, trajektori ringgit sangat dipengaruhi oleh keseimbangan antara sentimen risiko global dan sokongan asas domestik. 

Katanya, ringgit mempunyai kelebihan daya saing berbanding kebanyakan mata wang Asia, disokong oleh asas makro yang lebih stabil, imbangan luaran yang kukuh serta sensitiviti positif terhadap harga komoditi, khususnya tenaga. 

“Ketegangan di Selat Hormuz telah meningkatkan harga minyak global, yang secara teorinya menyokong ringgit sebagai mata wang negara pengeksport minyak. 

“Untuk tempoh tiga hingga enam bulan, kami menjangkakan ringgit akan didagangkan dalam julat RM3.88 hingga RM3.95 berbanding dolar AS, dengan kecenderungan pengukuhan sederhana,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, pengukuhan ringgit turut disokong oleh beberapa faktor utama seperti peningkatan hasil eksport tenaga, aliran masuk pelaburan dalam pasaran bon domestik serta jangkaan bahawa Rizab Persekutuan (Fed) akan mengekalkan kadar faedah sekitar 3.50 peratus hingga 3.75 peratus.

Tambahnya, keadaan ini membantu mengehadkan pelebaran jurang kadar faedah dengan Bank Negara Malaysia (BNM) yang diunjurkan kekal pada 2.75 peratus.

Sementara itu, BIMB Securities Sdn. Bhd. berkata, ringgit dijangka didagangkan dengan kecenderungan sedikit menaik dalam julat 3.9480 hingga 4.050 berbanding dolar AS pada minggu ini.

Menurutnya, unjuran itu dibuat dalam suasana pasaran yang masih berhati-hati menjelang pengumuman data penting ekonomi Malaysia, termasuk anggaran awal Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku pertama 2026 serta Indeks Harga Pengguna (IHP).

“Walaupun ringgit menunjukkan prestasi kukuh kebelakangan ini susulan kelemahan dolar AS dan sentimen geopolitik yang semakin reda, pergerakan jangka pendek dijangka dipengaruhi oleh perkembangan data domestik dan luaran.

“Sebarang petunjuk pertumbuhan ekonomi yang lebih sederhana atau tekanan daripada faktor luaran seperti permintaan global yang lemah boleh memberi sokongan kepada pengukuhan AS berbanding ringgit,” ujarnya.

Tambahnya, ringgit mencatat pengukuhan kukuh sebanyak 1.6 peratus minggu lalu, didorong peningkatan keyakinan pelabur susulan petunjuk lebih jelas ke arah penyelesaian potensi ketegangan antara AS dan Iran.

“Di peringkat domestik, asas ekonomi Malaysia yang berdaya tahan terus menyokong prospek pertumbuhan, sekali gus mengekalkan kestabilan ringgit dengan potensi untuk terus mengukuh ketika dolar AS melemah. 

“Data terkini menunjukkan kadar pengangguran kekal stabil pada 2.9 peratus selama empat bulan berturut-turut, manakala Kadar Penyertaan Tenaga Buruh (LFPR) kekal pada paras tertinggi 70.9 peratus, menandakan keadaan pasaran buruh yang kekal kukuh,” jelasnya.

Dalam masa sama, firma berkata, prospek ekonomi Malaysia yang kekal berdaya tahan serta asas makroekonomi yang kukuh dijangka terus menjadi faktor penampan kepada penyusutan ringgit yang lebih ketara.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN