Raia Hotels perkukuh pemasaran digital, sasar jualan RM100 juta

Raia Hotels perkukuh pemasaran digital, sasar jualan RM100 juta

MUHAMMAD SOLLEH RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Raia Hotels menyasarkan jualan mencecah RM100 juta menjelang 2027 melibatkan enam lokasi di Kedah, Pulau Pinang, Terengganu, Sabah, Sarawak dan Negeri Sembilan.

Ketua Pegawai Eksekutif UJ Hotels & Resorts Management Services Sdn. Bhd., Muhammad Solleh Ramli berkata, sasaran itu disokong oleh peningkatan pelaburan kumpulan dalam aspek jualan dan pemasaran, khususnya pemasaran digital.

“Keterlihatan dalam talian kami kini jauh lebih baik berbanding sebelum ini dengan pelanggan datang daripada pelbagai platform.

“Raia Hotels juga bermula daripada Tabung Haji dengan konsep hotel mesra Muslim, di mana semua dapur adalah halal bagi memastikan keyakinan pelanggan terhadap penyediaan makanan.

“Selain itu, tenaga kerja kami terdiri daripada rakyat tempatan, daripada dapur hingga ke perkhidmatan pelanggan, yang menjadi kelebihan utama kami.

“Konsep kami adalah hotel mesra Muslim dengan slogan ‘Hotel Untuk Semua’. Sebelum ini, fokus lebih kepada segmen tertentu, namun kini kami melihat kepelbagaian pelanggan merentasi semua kaum,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas Pelancaran Rasmi Raia Hotel Port Dickson di Teluk Kemang, Port Dickson baru-baru ini. 

Beliau berkata, pelancaran itu merupakan lokasi keenam dengan pelaburan sebanyak RM6 juta, manakala kerja-kerja ubah suai mengambil masa kira-kira setahun dan dilaksanakan secara berperingkat dalam tiga fasa.

“Fasa pertama melibatkan kerja-kerja pembaikan bilik, diikuti fasa kedua yang merangkumi penambahbaikan infrastruktur seperti kawasan lobi dan persekitaran, manakala fasa ketiga melibatkan penambahbaikan keseluruhan kemudahan dan pembinaan kolam renang.

“Ketika kami mengambil alih, kami hanya melakukan kerja naik taraf dalaman dan infrastruktur luaran seperti ruang lobi, kafe serta membina kolam renang baharu berkonsepkan oasis yang lebih mesra keluarga,” katanya.

Mengulas mengenai perancangan seterusnya, beliau berkata, kumpulan itu memang mempunyai perancangan untuk mengembangkan lagi perniagaan hotel, selaras dengan pertumbuhan syarikat mereka.

“Kami sedang mengenal pasti hotel-hotel yang sesuai di beberapa lokasi utama. 

“Buat masa ini, kami masih belum mempunyai hotel di Kuala Lumpur dan kami amat mengalu-alukan mana-mana pihak yang mempunyai aset hotel untuk bekerjasama dengan kami.

“Selain itu, kami juga sedang mempertimbangkan Langkawi sebagai lokasi baharu kerana kami melihat potensi pasaran yang masih belum diterokai sepenuhnya di sana,” jelasnya.

Bagaimanapun, beliau berkata, kumpulan itu belum merancang untuk memasuki segmen hotel mewah lima bintang bagi hotel-hotel sedia buat masa in.

Menurutnya, tumpuan kepada pasaran hotel bertaraf tiga hingga empat bintang adalah lebih bersesuaian dengan keadaan aset dimiliki serta profil pelanggan syarikat.

“Kebanyakan pelanggan kami terdiri daripada kira-kira 30 peratus sektor awam, manakala selebihnya adalah pelanggan domestik. Keperluan untuk mencapai tahap lima bintang bukan menjadi sasaran utama kami.

“Walaupun begitu, kami mempunyai tiga hotel berskala besar yang berpotensi untuk dinaik taraf kepada lima bintang, iaitu di Kuching, Alor Setar dan Terengganu.

“Namun, kami lebih selesa kekal dalam segmen empat bintang kerana lebih bersesuaian dengan pasaran,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN