Pasaran ekuiti negara dijangka lebih terkawal

Pasaran ekuiti negara dijangka lebih terkawal

SEKTOR minyak dan gas muncul sebagai antara penerima manfaat utama berikutan peningkatan hasil dalam persekitaran harga komoditi yang tinggi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia dijangka menghadapi kesan lebih terkawal daripada ketidaktentuan pasaran global akibat konflik Asia Barat berikutan kedudukannya sebagai pengeksport minyak dan gas, dengan kenaikan harga minyak menyokong ekonomi domestik serta keyakinan pelabur.

Profesor Ekonomi di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Law Siong Hook berkata, pelabur biasanya mengambil pendekatan berhati-hati dalam situasi ketidaktentuan global.

Katanya, pelabur cenderung mengurangkan pegangan dalam pasaran saham dan beralih kepada aset yang lebih selamat seperti tunai, bon atau emas.

“Bagi Malaysia, keadaan ini boleh menyebabkan aliran keluar dana asing dalam jangka pendek. Namun begitu, kesan tersebut dijangka lebih terkawal berbanding negara-negara lain kerana Malaysia adalah pengeksport minyak dan gas. 

“Kenaikan harga minyak memberi sokongan kepada ekonomi negara dan membantu mengekalkan keyakinan pelabur. Oleh itu, walaupun terdapat tekanan, pasaran Malaysia mungkin tidak jatuh seburuk pasaran lain di rantau ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas mengenai impak kepada sektor dalam pasaran, beliau berkata, impak kenaikan harga minyak adalah tidak sekata. 

Menurutnya, sektor minyak dan gas muncul sebagai antara penerima manfaat utama berikutan peningkatan hasil dalam persekitaran harga komoditi yang tinggi. 

Tambahnya, sektor perladangan turut berpotensi mencatat prestasi lebih baik, didorong kenaikan harga komoditi global.

“Sebaliknya, sektor pengangkutan dan logistik berdepan tekanan ketara akibat peningkatan kos bahan api, manakala sektor pembuatan turut terkesan dengan kenaikan kos tenaga dan bahan mentah. 

“Sektor pengguna pula berhadapan cabaran apabila kuasa beli rakyat terjejas susulan kenaikan harga barangan,” jelasnya.

Siong Hook berkata, peningkatan harga minyak juga memberi kesan langsung kepada kos operasi syarikat tempatan. 

Jelasnya, syarikat dalam sektor pengangkutan dan pembuatan berdepan peningkatan kos yang menjejaskan margin keuntungan, khususnya bagi syarikat yang mempunyai keupayaan terhad untuk memindahkan kos kepada pengguna.

“Sekiranya konflik geopolitik terus berlanjutan, harga minyak dijangka kekal tinggi dalam jangka pendek hingga sederhana. Buat masa ini, harga dijangka berada dalam julat sekitar AS$100 (RM403) hingga AS$120 (RM483) setong.

“Namun, jika berlaku gangguan bekalan yang lebih serius, harga minyak boleh meningkat melebihi paras tersebut sehingga AS$200 (RM806) setong. 

“Pada masa yang sama, faktor seperti permintaan global, dasar pengeluaran negara pengeluar minyak atau Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC), dasar monetari dunia serta keadaan ekonomi dunia akan turut mempengaruhi pergerakan harga minyak pada masa hadapan,” katanya.

Namun begitu, beliau menjangkakan pasaran saham Malaysia kekal relatif berdaya tahan walaupun berdepan cabaran luaran, disokong oleh struktur ekonomi berasaskan komoditi, permintaan domestik yang stabil serta sistem kewangan yang kukuh.

“Secara keseluruhannya, walaupun turun naik pasaran tidak dapat dielakkan dalam jangka pendek, asas ekonomi Malaysia yang kukuh dijangka membantu pasaran tempatan bertahan lebih baik berbanding pasaran serantau lain.

“Justeru, pasaran saham Malaysia dijangka kekal stabil secara relatif, namun pelabur perlu bersedia menghadapi turun naik dalam jangka pendek selagi konflik geopolitik dan ketidaktentuan pasaran global masih berterusan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN