Matrade raih lebih RM200 juta nilai dagangan di China

Matrade raih lebih RM200 juta nilai dagangan di China

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) menjana nilai jualan melebihi RM200 juta dalam Pameran Makanan dan Minuman China ke-114 (CFDF) di Chengdu, Sichuan, China. 

Ia merupakan kerjasama bersama Messe Worldwide Sdn. Bhd. yang berjaya menamatkan penyertaan Malaysia dalam pameran tiga hari yang berlangsung dari 26 hingga 28 Mac lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Matrade, Abu Bakar Yusof berkata, pencapaian itu mencerminkan permintaan yang semakin meningkat terhadap produk Malaysia yang diperakui halal dan berkualiti tinggi.

Menurutnya,ia di samping komitmen bersama dalam membina kerjasama rentas sempadan jangka panjang.HENDR

“Penyertaan Matrade dalam CFDF adalah selaras dengan strategi kepelbagaian pasaran eksport agensi itu, khususnya dengan meneroka bandar Tier 2 dan Tier 3 di China seperti Chengdu.

“Acara perdagangan ini muncul sebagai pintu masuk penting ke pasaran Barat China yang berkembang pesat dan menawarkan peluang besar kepada produk makanan dan minuman premium Malaysia,” katanya dalam kenyataan. 

CFDF merupakan antara pameran perdagangan terbesar, paling lama dianjurkan serta paling berpengaruh di China dengan sejarah yang menjangkau beberapa dekad. 

Pada 2025, perdagangan dua hala antara China dan Malaysia mencecah RM541.54 bilion, sekali gus mengukuhkan kedudukan China sebagai rakan dagang terbesar Malaysia. 

Wilayah Sichuan pula muncul sebagai antara 10 rakan dagang wilayah utama Malaysia di China dengan sumbangan sebanyak RM18.85 bilion kepada jumlah dagangan keseluruhan.

Dalam pada itu, penyertaan kali ini menonjolkan kepelbagaian serta kualiti premium sektor makanan dan minuman Malaysia, merangkumi minuman kesihatan berfungsi, snek berasaskan buah tropika, sos autentik sedia dimakan serta produk sarang burung. 

Produk sarang burung premium Malaysia muncul sebagai antara yang paling mendapat permintaan tinggi.

Ia diikuti snek tradisional inovatif yang menggabungkan resipi warisan dengan sentuhan moden, selain permintaan kukuh terhadap produk sedia masak dan sedia dimakan. 

Kejayaan ini membuktikan ketahanan serta daya tarikan global jenama makanan dan minuman Malaysia, sekali gus memberi prospek positif kepada perdagangan dua hala pada masa hadapan. 

Minat yang ditunjukkan oleh pembeli dari China turut mencerminkan peralihan ke arah produk premium, sihat dan diperakui halal.

Syarikat Malaysia yang berminat untuk meneroka peluang di pasaran China digalakkan untuk menghubungi Matrade bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai pasaran serta platform promosi yang tersedia.-UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN