Malaysia, satu-satunya pasaran terima aliran masuk pelabur asing

Malaysia, satu-satunya pasaran di Asia dipantau MBSB terima aliran masuk pelabur asing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia menjadi satu-satunya dalam lapan pasaran di Asia menerima aliran masuk bersih asing pada minggu lalu, kata MBSB Investment Bank Berhad.

Bank pelaburan berkata, merentasi lapan pasaran yang dipantaunya, pelabur asing telah mencatatkan jualan bersih selama tujuh minggu berturut-turut, dengan aliran keluar bersih asing berjumlah AS$11.68 bilion (RM47.09 bilion).

Katanya, aliran keluar diterajui oleh Taiwan, Korea Selatan, India, Indonesia, Vietnam, Filipina dan Thailand.

“Bagi Bursa Malaysia, pelabur asing melanjutkan pembelian bersih selama dua minggu berturut-turut, mencatatkan aliran masuk asing bersih sebanyak RM98.5 juta.

“Pelabur asing merupakan pembeli bersih pada dua daripada lima hari dagangan sepanjang minggu. 

“Aliran masuk terbesar dicatatkan pada Rabu (RM138.1 juta), diikuti oleh Khamis (RM107.3 juta), manakala aliran keluar terbesar dicatatkan pada Selasa (RM78.3 juta), Isnin (RM68.7 juta) dan Jumaat (-RM1.4 juta),” katanya pada Laporan Aliran Dana minggu berakhir 3 April 2026.

MBSB Investment Bank berkata, tiga sektor teratas yang mencatatkan aliran masuk asing bersih ialah perladangan (RM764.3 juta), tenaga (RM149.6 juta) dan penjagaan kesihatan (RM96.4 juta).

Sementara itu, katanya, tiga sektor teratas yang mencatatkan aliran keluar asing bersih ialah pengangkutan dan logistik (RM249.3 juta), teknologi (RM155.3 juta) dan produk dan perkhidmatan pengguna (RM122.3 juta).

“Institusi tempatan melanjutkan rentetan jualan bersih selama dua minggu berturut-turut, mencatatkan aliran keluar bersih RM98.3 juta.

“Sementara itu, peruncit tempatan melanjutkan rentetan jualan bersih selama tiga minggu berturut-turut, mencatatkan aliran keluar bersih sederhana sebanyak RM0.2 juta,” jelasnya.

Tambahnya, purata jumlah dagangan harian (ADTV) menyaksikan penurunan menyeluruh peruncit tempatan sebanyak 6.9 peratus, manakala institusi tempatan menurun sebanyak 3.2 peratus dan pelabur asing menyaksikan penurunan sebanyak 9.0 peratus. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN