Kilang Semi-D MVV TechValley hampir penuh, pacu ekonomi

Kilang Semi-D MVV TechValley hampir penuh, pacu ekonomi

KELVIN Lee Chin Chuan dalam Forum Tinjauan Ekonomi Global anjuran bersama UOB Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Permintaan terhadap pembangunan industri di projek Malaysia Vision Valley 2.0 (MVV 2.0) terus positif apabila MVV TechValley muncul sebagai antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi baharu di Negeri Sembilan.

Pengarah Eksekutif Kumpulan Matrix Concepts Holdings Berhad. (Matrix Concepts), Kelvin Lee Chin Chuan berkata, permintaan tinggi bagi fasa kilang Semi-D ini menunjukkan peningkatan keperluan terhadap pembangunan industri yang dirancang rapi dalam Malaysia Vision Valley.

“Perniagaan masa kini tidak lagi hanya tertumpu kepada zon industri tradisional. Mereka kini mengutamakan kesalinghubungan, sokongan ekosistem dan potensi pertumbuhan jangka panjang dan disinilah pembangunan seperti MVV TechValley menjadi tumpuan,” katanya dalam kenyataan. 

Perkembangan ini diketengahkan oleh Matrix Concepts dalam Forum Tinjauan Ekonomi Global anjuran bersama UOB Malaysia, yang menghimpunkan pelabur, pemain industri serta pihak berkepentingan bagi membincangkan prospek ekonomi dan peluang pelaburan semasa.

Dalam sesi tersebut, Matrix Concepts membentangkan visi menyeluruh MVV City, sebuah pembangunan bersepadu masa hadapan di bawah inisiatif Malaysia Vision Valley 2.0, dengan MVV TechValley memainkan peranan penting sebagai hab industri strategik. 

Pembangunan ini dilihat berpotensi memperkukuh ekosistem industri dan menarik pelaburan bernilai tinggi ke dalam koridor MVV.

Forum berkenaan turut menekankan kepentingan MVV 2.0 sebagai salah satu koridor pertumbuhan ekonomi utama negara, sejajar dengan usaha kerajaan untuk merangsang pembangunan wilayah secara lebih seimbang dan berdaya saing.

Selain itu, UOB Malaysia berkongsi pandangan mengenai trend ekonomi global dan unjuran pasaran, termasuk peranan institusi kewangan dalam menyokong pertumbuhan melalui penyelesaian pembiayaan dan akses kepada pasaran antarabangsa.

Ho Chin Soon Research pula membentangkan perspektif mengenai transformasi ekonomi dan pembangunan Negeri Sembilan di bawah inisiatif Malaysia Vision Valley, yang semakin meningkatkan daya tarikan negeri tersebut sebagai destinasi pelaburan strategik.

Secara keseluruhan, forum ini mengukuhkan keyakinan bahawa MVV TechValley dan MVV City berpotensi menjadi pemangkin utama pertumbuhan industri dan ekonomi, selaras dengan permintaan yang semakin meningkat terhadap pembangunan industri moden dan bersepadu di Malaysia.

Bersempena forum tersebut, Matrix Concepts mengumumkan, fasa terbaharu kilang separa berkembar di MVV TechValley Biz Park telah mencapai lebih 85 peratus kadar pengambilan semasa pra pelancaran, mencerminkan keyakinan pasaran yang kukuh terhadap pembangunan ini.

Fasa yang merangkumi 40 unit tersebut, dengan harga bermula dari RM3.4 juta hingga RM4.4 juta, menarik pelbagai pembeli termasuk syarikat dalam sektor pembuatan, logistik dan teknologi yang mencari ruang industri strategik dalam koridor MVV.

Taman industri ini mempunyai akses terus ke Lebuhraya Nilai–Labu–Enstek, dengan sambungan masa hadapan ke Lebuhraya Utara–Selatan serta terletak berhampiran pintu masuk logistik utama seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Pelabuhan Klang.

Kelebihan ini meletakkan pembangunan tersebut pada kedudukan strategik bagi perniagaan yang terlibat dalam pembuatan, pengedaran dan aktiviti berorientasikan eksport.

MVV TechValley merupakan pembangunan industri kedua oleh Matrix Concepts selepas kejayaan Sendayan TechValley, di mana semua fasanya telah habis diambil. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×