KEMUDAHAN jaminan RM5 bilion yang diperkenalkan kerajaan mampu bertindak sebagai penampan kecairan dalam membantu menstabilkan kitaran operasi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang kini tertekan akibat kenaikan kos dan ketidaktentuan global.
Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn. Bhd., Mohd. Sedek Jantan berkata, skim yang disalurkan melalui Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) dengan liputan sehingga 80 peratus itu penting bagi memastikan akses pembiayaan terus terbuka.
Katanya, ini khususnya kepada sektor yang paling terkesan akibat konflik yang berlaku di Asia Barat seperti logistik, pembinaan dan pelancongan.
“Dalam konteks semasa, kejutan kos berlaku secara segera. Tanpa sokongan kecairan, sebahagian PMKS berisiko berdepan tekanan aliran tunai yang boleh menjejaskan kesinambungan operasi.
“Justeru, dalam jangka pendek, kemudahan ini memainkan peranan sebagai penampan kecairan untuk menstabilkan operasi perniagaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Namun begitu, beliau berkata, dari sudut magnitud, skala bantuan tersebut masih kecil berbanding tekanan kos sebenar yang ditanggung oleh sektor PMKS.
Menurutnya, PMKS merangkumi lebih 97 peratus daripada keseluruhan perniagaan di Malaysia dan menyumbang sekitar 38 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), dengan asas kos operasi tahunan mencecah ratusan bilion ringgit.
“Dalam konteks ini, tambahan RM5 bilion adalah marginal. Malah, jumlah jaminan pembiayaan kepada puluhan ribu PMKS dalam beberapa tahun kebelakangan ini telah mencecah puluhan bilion ringgit, menunjukkan keperluan sebenar jauh lebih besar,” ujarnya.
Beliau berkata, tekanan kos semasa bukan bersifat sementara, sebaliknya berulang dan berlapis, didorong oleh kenaikan harga minyak serta kos logistik global.
“Jika kos tenaga dan pengangkutan meningkat walaupun sekitar lima hingga 10 peratus, impaknya secara agregat boleh mencecah puluhan bilion ringgit dalam tempoh singkat.
“Ini bermakna RM5 bilion hanya mampu menyerap sebahagian kecil daripada kejutan tersebut, dan kesannya boleh terhakis dengan cepat sekiranya tekanan berterusan,” jelasnya.
Mohd. Sedek berkata, kenaikan harga minyak dan gangguan perkapalan di Asia Barat memberi kesan langsung dan berintensiti tinggi kepada kos operasi PMKS di Malaysia dalam tempoh terdekat, terutamanya melalui saluran kos tenaga, logistik dan rantaian bekalan.
“Dalam kerangka transmisi kos, impak paling segera datang daripada peningkatan harga bahan api yang secara langsung menaikkan kos pengangkutan darat dan laut.
“Bagi PMKS, khususnya perusahaan mikro, struktur kos adalah lebih sensitif kepada perubahan harga tenaga, dengan komponen bahan api berpotensi meningkat daripada sekitar 6.4 peratus kepada hampir 50 peratus daripada jumlah kos operasi dalam keadaan kejutan minyak,” jelasnya.
Sementara itu, Profesor Ekonomi di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Law Siong Hook berkata, kemudahan RM5 bilion bersama jaminan di bawah SJPP itu memang membantu PMKS yang berdepan cabaran untuk kredit daripada pasaran kewangan dan institusi seperti bank.
Katanya, ia memberi ruang kepada PMKS untuk mendapatkan pembiayaan dan mengurus aliran tunai dalam tempoh sukar, walaupun ia lebih berbentuk bantuan jangka pendek.
“Masalah sebenar yang dihadapi PMKS adalah lebih mendalam dan berpanjangan. Antaranya ialah kebergantungan kepada import, kos operasi yang mudah terjejas oleh faktor luar serta tahap kecekapan dan produktiviti yang masih perlu dipertingkatkan.
“Pembiayaan sahaja tidak cukup untuk menyelesaikan isu ini. Ia hanya membantu PMKS bertahan dalam jangka masa pendek, tetapi tidak semestinya menjadikan mereka lebih kuat dalam jangka panjang.
“Justeru, kemudahan ini perlu disokong dengan langkah lain seperti pengurangan kos, peningkatan produktiviti dan pengukuhan rantaian bekalan tempatan,” jelasnya.
Siong Hook berkata, cabaran utama ialah memastikan bantuan ini betul-betul sampai kepada golongan yang paling memerlukan.
Menurutnya, perniagaan mikro seperti penjaja dan nelayan biasanya tidak mempunyai rekod kewangan lengkap atau cagaran, menyebabkan mereka sukar mendapat pinjaman bank.
“Untuk mengatasi perkara ini, beberapa langkah penting perlu diambil, seperti memudahkan proses permohonan supaya tidak terlalu rumit, menawarkan pembiayaan kecil yang cepat diluluskan dan enggunakan kaedah alternatif untuk menilai kelayakan, seperti rekod transaksi harian.
“Selain itu, kerjasama dengan koperasi, persatuan atau agensi tempatan yang lebih dekat dengan komuniti juga dapat dilakukan, selain melaksanakan pendekatan proaktif, bukan sekadar menunggu permohonan
“Jika tidak, ada risiko bantuan ini lebih banyak dinikmati oleh perniagaan yang sudah stabil, manakala golongan mikro masih tertinggal,” ujarnya. – UTUSAN









