IOI Properties ambil alih AST2 bernilai RM7.7 bilion - Utusan Malaysia

IOI Properties ambil alih AST2 bernilai RM7.7 bilion

ASIA Square Tower 2 dihubungkan terus ke IOI Central Boulevard Towers melalui jambatan pejalan kaki bertingkat di CBD Marina Bay.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: IOI Properties Group Berhad (IOIPG) akan memperoleh pegangan 100 peratus dalam Asia Square Tower 2 (AST2) milik CapitaLand Integrated Commercial Trust (CICT) pada nilai S$2.476 bilion (RM7.69 bilion).

Aset pejabat premium Gred A itu terletak di daerah kewangan Marina Bay, Singapura dan nilai urus niaga dipersetujui berdasarkan prinsip pembeli dan penjual yang rela, selepas mengambil kira penilaian bebas Savills bertarikh 12 April 2026.

Nilai tersebut mewakili diskaun S$50 juta (RM155.33 juta) berbanding penilaian pasaran.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IOIPG, Datuk Lee Yeow Seng berkata, Singapura kekal sebagai pasaran strategik disokong kestabilan sosio-politik dan peranannya sebagai hab kewangan serantau.

Katanya, negara itu terus menarik syarikat multinasional, institusi global serta bakat terbaik yang menyokong daya tahan ekonomi jangka panjang.

“Pemerolehan ini mencerminkan keyakinan berterusan Kumpulan terhadap aset utama di Singapura yang menawarkan aliran pendapatan berulang stabil.

“Aset di Marina Bay juga berada pada kedudukan baik untuk mendapat manfaat daripada permintaan kukuh, bekalan terhad dan pembangunan bandar yang berterusan,” katanya dalam kenyataan.

Perjanjian opsyen jual dan beli dimeterai antara HSBC Institutional Trust Services (Singapore) Limited selaku pemegang amanah CapitaLand Commercial Trust dan IOI Marina View Pte Ltd, anak syarikat milik penuh IOIPG.

AST2 mempunyai keluasan boleh disewa bersih (NLA) kira-kira 773,460 kaki persegi dengan spesifikasi bangunan bertaraf tinggi serta sambungan terus ke rangkaian pengangkutan dan kemudahan gaya hidup.

Bangunan itu turut dihubungkan ke 101 Central Boulevard Towers melalui jambatan pejalan kaki bertingkat, sekali gus mengukuhkan integrasi portfolio sedia ada.

Beliau berkata, pemerolehan tersebut memperkukuh kehadiran IOIPG di CBD, melengkapi aset sedia ada termasuk IOI Central Boulevard Towers dan South Beach Tower.

“Secara keseluruhan, aset di bawah pengurusan IOIPG di Singapura meningkat kepada S$10 bilion dengan pemilikan penuh, melibatkan pembangunan komersial premium di lokasi utama.

“Penambahan AST2 menjadikan jumlah NLA portfolio pelaburan hartanah Kumpulan meningkat kepada 2.57 juta kaki persegi dan dijangka mengukuhkan aliran pendapatan berulang,” jelasnya.

Sehingga 31 Mac 2026, AST2 mencatat kadar penghunian purata 95.8 peratus, disokong permintaan stabil ruang pejabat premium di CBD serta bekalan baharu yang terhad.

Dari segi operasi, IOI Properties Singapura akan memanfaatkan keupayaan pengurusan aset bagi mengoptimumkan prestasi, mengurus pembaharuan pajakan serta memacu nilai jangka panjang.

Kedudukan AST2 yang berhampiran IOI Central Boulevard Towers dan South Beach Tower turut menyokong strategi pengelompokan portfolio di CBD selain membolehkan pengembangan penyewa serta sinergi operasi.

Platform pejabat yang diperluas itu membolehkan kumpulan menawarkan variasi saiz ruang kepada penyewa, daripada kira-kira 15,000 kaki persegi di South Beach, 22,000 kaki persegi di IOI Central Boulevard Towers hingga 30,000 kaki persegi di AST2.

Langkah itu turut meletakkan IOI Properties Singapura pada kedudukan strategik untuk memperkukuh portfolio hartanah komersial matang bagi menjana pendapatan mampan serta memacu pertumbuhan melalui pemerolehan terpilih. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN