IPOH: Penganjuran Liga Bola Sepak Perak Sejahtera 2030 tidak melibatkan peruntukan oleh kerajaan negeri Perak kepada Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa).
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri, Datuk Khairudin Abu Hanipah berkata, penganjuran liga tersebut bukan penguasaan politik malah lebih bersifat kerjasama komuniti.
Menurutnya, objektif penganjuran Liga Perak Sejahtera 2030 ialah untuk mencungkil bakat anak muda, memberi ruang pendedahan kepada pemain pemain muda, merancakkan aktiviti sukan bola sepak.
“Penganjurannya juga menggalakkan gaya hidup sihat serta menyemarakkan semangat kesukanan di kalangan anak muda.
“Perkara ini tidak perlu di politikkan secara berlebihan hanya kerana sentimen politik kepartian,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.
Menurutnya, penganjuran liga berkenaan tidak melibatkan peruntukan RM2 juta oleh Kerajaan Negeri Perak kepada Pafa.
Beliau berkata, peruntukan RM2 juta berkenaan meliputi anggaran perbelanjaan seperti pasukan Liga A1 (RM0.95j), pasukan belia (RM0.3j), pasukan Sukma Liga Ipoh (RM50,000), persiapan Sukma (RM0.2j) dan pembangunan (RM0.2j).
“Peruntukan itu juga meliputi perbelanjaan pengadil (RM50,000), futsal dan bola sepak pantai (RM0.1j), bola sepak wanita (RM50,000) dan bola sepak kurang upaya (RM0.1j),” katanya. – UTUSAN










