PETALING JAYA: Gerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) berpotensi kembali memainkan peranan penting dalam landskap geopolitik global yang semakin tidak menentu dan berpecah kepada pelbagai blok kuasa.
Penasihat Penyelidik Khazanah Research Institute, Prof. Dr. Jomo Kwame Sundaram berkata, NAM pada asalnya diwujudkan ketika era Perang Dingin sebagai respons kepada dunia unipolar dan konflik antara kuasa besar antara Amerika Syarikat (AS) dan Soviet.
Katanya, dunia semasa tidak lagi boleh dilihat melalui kerangka lama, sebaliknya sedang menyaksikan perubahan besar dalam sifat kuasa dari segi geostrategi, geoekonomi dan geopolitik.
“Prinsip asas gerakan itu masih kekal relevan, khususnya dalam memperjuangkan keamanan, pembangunan dan keadilan.
“Negara kecil dan sederhana tidak mempunyai pengaruh besar, jadi penting untuk mengekalkan peranan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan badan multilateral lain,” katanya kepada pemberita pada Allianz Centre for Governance (ACG) Distinguished Speaker Series bertajuk The New World Order Is No Order, Let Alone New di Universiti Malaya di sini, hari ini.
Beliau berkata, Malaysia sendiri mempunyai sejarah dalam NAM apabila pernah menjadi pengerusi serta tuan rumah sidang kemuncak ketika era pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Ujarnya, peranan itu boleh diteruskan dan diperkukuh selaras dengan perubahan semasa, namun pendekatannya perlu disesuaikan dengan realiti baharu geopolitik global.
“Kuasa kini bukan sahaja berbentuk ketenteraan tradisional, tetapi turut melibatkan teknologi, rangkaian ekonomi global serta kebergantungan antara negara yang kini boleh dijadikan alat tekanan.
“Konflik melibatkan Iran, contohnya, telah mengubah pemikiran dan doktrin ketenteraan.
“Dengan kemajuan teknologi, khususnya ketepatan serangan, negara yang dianggap lebih lemah boleh memberi cabaran besar. Sistem senjata canggih kini juga terdedah kepada peluru berpandu dan dron dengan teknologi sasaran yang sangat tepat,” katanya.
Tambah beliau, dunia melihat ‘weaponization of interdependence’ dan juga ‘single points of failure’. Tarif yang dikenakan oleh pentadbiran Presiden AS, Donald Trump sebagai penggunaan saling kebergantungan sebagai senjata, kerana AS selama ini dianggap sebagai pengguna terakhir utama dalam ekonomi global. – UTUSAN










