PETALING JAYA: MBSB Bank Berhad memperluas rangkaiannya di utara Semenanjung menerusi pembukaan semula cawangan Kangar dan Kulim di lokasi baharu, mencerminkan komitmen meningkatkan akses pelanggan serta meluaskan liputan perkhidmatan di kawasan pertumbuhan utama.
Kedua-dua cawangan itu menyokong usaha berterusan bank berkenaan untuk mendekatkan perkhidmatan perbankan kepada pelanggan.
Ia merangkumi segmen runcit, affluent, bernilai tinggi, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta korporat, di samping memperluas akses kepada produk dan perkhidmatan kewangan patuh Syariah.
Ketua Pegawai Perbankan Pengguna Kumpulan MBSB Bank, Usman Ghouse berkata, kehadiran bank itu di Kangar dan Kulim berteraskan objektif strategik untuk memudahkan akses pelanggan serta memperkukuh penyampaian perkhidmatan.
“Pembukaan ini membolehkan kami berada lebih dekat dengan komuniti dan perniagaan setempat.
“Ia juga mengukuhkan komitmen kami terhadap penyelesaian yang praktikal dan berasaskan hubungan bagi menyokong kemajuan kewangan merentas pelbagai segmen pelanggan,” katanya dalam kenyataan.
Cawangan Kangar dirasmikan dengan kehadiran Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah pada 20 April, manakala cawangan Kulim dirasmikan pada hari berikutnya oleh Usman Ghouse.
Beliau berkata, pembukaan semula kedua-dua cawangan di lokasi baharu itu turut mengukuhkan kedudukan MBSB dalam dua pasaran berbeza dengan meningkatkan akses di kawasan tumpuan.
“Ini sekali gus memperluas keterlihatan jenama serta liputan perkhidmatan di utara Semenanjung.
“Kangar menyokong jangkauan komuniti yang lebih meluas serta keterangkuman kewangan, manakala Kulim mengukuhkan kedudukan bank di kawasan yang lebih aktif dari segi komersial dan berpotensi tinggi untuk pertumbuhan,” katanya.
Bagi menandakan pembukaan itu, MBSB memperkenalkan tawaran masa terhad dari 20 April hingga 31 Mei 2026.
Pakej promosi tersebut merangkumi kadar Term Deposit-i sebanyak 3.78 peratus setahun bagi tempoh 12 bulan.
Selain itu, pakej pelaburan Unit Trust terpilih turut ditawarkan sepanjang tempoh promosi dengan ganjaran pulangan tunai sebanyak 25 peratus ke atas caj jualan kasar dalam bentuk PrimeGold-i. – UTUSAN










