CIMB Forward30 catat ROE 11.3% pada tahun pertama 2025 - Utusan Malaysia

CIMB Forward30 catat ROE 11.3% pada tahun pertama 2025

NOVAN Amirudin (kiri) bersama Pengerusi Kumpulan CIMB, Syed Zaid Albar (kanan) pada Mesyuarat Agung Tahunan ke-69 CIMB Group Holdings Berhad.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: CIMB Group Holdings Berhad mencatatkan pulangan ke atas ekuiti purata (ROE) sebanyak 11.3 peratus pada tahun pertama 2025 di bawah pelan strategik Forward30, meningkat daripada 11.2 peratus pada 2024.

Walaupun berdepan persekitaran operasi mencabar pada 2025 susulan penurunan kadar faedah dan ketidaktentuan pertukaran asing, Kumpulan kekal berdisiplin dalam melaksanakan tahun pertama pelan strategiknya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Novan Amirudin berkata, pada tahun pertama Forward30, Kumpulan bukan sahaja meletakkan asas kukuh untuk pertumbuhan masa depan, malah mencatatkan satu lagi prestasi kewangan rekod.

Menurutnya, pencapaian itu disokong rekod prestasi konsisten dengan pulangan keseluruhan kepada pemegang saham hampir tiga kali ganda sepanjang sedekad lalu, sekali gus mengatasi prestasi pasaran.

“Penciptaan nilai jangka panjang kami disokong aliran pendapatan pelbagai, margin berdaya tahan, kecairan kukuh serta kualiti aset yang baik, selain pengurusan modal berdisiplin.

“Ini membolehkan kami mengekalkan ROE mampan 11.3 peratus serta pengagihan dividen konsisten, termasuk program pulangan modal khas RM2 bilion yang diumumkan awal tahun ini,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, CIMB terus memperkukuh penglibatan pelanggan melalui penyelesaian digital berbeza.

“Ini termasuk tawaran pengurusan kekayaan diperibadikan serta pembiayaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berasaskan aliran tunai yang boleh diakses menerusi aplikasi perbankan digital kumpulan.

“Pada masa sama, CIMB meneroka infrastruktur kewangan generasi baharu melalui inisiatif tokenisasi merangkumi pembayaran, penyelesaian dan pasaran modal dengan kerjasama Bank Negara Malaysia dan Ant International.

“Usaha itu disokong pelaburan berterusan dalam teknologi, dengan lebih RM1 bilion perbelanjaan modal diperuntukkan setiap tahun.

“Ia bagi memodenkan sistem perbankan teras, mempercepat penggunaan data dan kecerdasan buatan (AI), serta meningkatkan kecekapan operasi pada skala besar,” jelasnya.

Strategi Forward30 berteraskan empat pemacu utama iaitu pengagihan semula dan pengoptimuman modal, pengukuhan francais tunai, peningkatan prestasi jual silang serta peluasan keupayaan untuk menjadi lebih ringkas, cekap dan pantas.

Pelaksanaan berdisiplin itu menyokong satu lagi tahun prestasi kewangan kukuh serta penciptaan nilai berterusan kepada pemegang saham.

Dalam pada itu, perbankan Islam kekal sebagai tonggak pertumbuhan utama kumpulan.

Di Malaysia, CIMB memperluas akses pelaburan kepada pelabur patuh Syariah melalui perintis produk pasaran modal Islam dengan kerjasama Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Bursa Malaysia.

Dalam masa sama, beliau berkata, rancangan pemisahan CIMB Niaga Syariah dijangka mengukuhkan kedudukannya sebagai bank Syariah kedua terbesar di Indonesia.

“Seiring tujuan kumpulan untuk memajukan pelanggan dan masyarakat, CIMB komited memperuntukkan RM200 juta kepada masyarakat menjelang 2030, meningkat lebih 30 peratus berbanding lima tahun sebelumnya.

“Inisiatif itu termasuk program ITEKAD yang memanfaatkan lebih 800 usahawan mikro serta penyertaan dalam program Santuni MADANI yang memberi manfaat kepada lebih 9,000 penduduk di empat komuniti angkat serta 10 sekolah melibatkan lebih 2,000 pelajar.

“Kami akan terus memperkasa komuniti agar dapat menyertai ekonomi secara lebih inklusif,” katanya.

Mengulas prospek, Novan berkata, CIMB akan terus memberi tumpuan kepada pelaksanaan Forward30 bagi meningkatkan nilai pemegang saham, disokong pelaburan berdisiplin untuk membina Kumpulan lebih kukuh dan berdaya tahan, selaras aspirasi menjadi bank pilihan utama ASEAN menjelang 2030. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN