Uniqlo hulur bantuan kecemasan buat mangsa kebakaran Sandakan - Utusan Malaysia

Uniqlo hulur bantuan kecemasan buat mangsa kebakaran Sandakan

Wakil MRA (empat dari kanan) menyerahkan sumbangan daripada Uniqlo Malaysia kepada wakil petugas kecemasan bagi membantu mangsa kebakaran Kampung Bahagia, Sandakan di salah sebuah PPS, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Uniqlo Malaysia menghulurkan bantuan kewangan dan pakaian berjumlah lebih RM42,000 bagi menyokong mangsa yang terjejas dalam kejadian kebakaran besar di Kampung Bahagia, Sandakan, Sabah, baru-baru ini.

Sumbangan tersebut disalurkan melalui rakan strategik jangka panjangnya, Malaysian Relief Agency (MRA) bagi membantu komuniti yang kini ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Pengarah Kelestarian dan Perhubungan Awam Korporat Uniqlo Malaysia, Dawn Chow berkata, pihaknya berharap sumbangan itu dapat memberikan sedikit keselesaan kepada keluarga yang kehilangan harta benda dalam sekelip mata.

“Ingatan kami sentiasa bersama keluarga yang terjejas. Apabila berlakunya pemindahan mengejut seperti ini, barangan keperluan harian yang asas pun menjadi sangat mendesak.

“Kami berharap sumbangan ini dapat membantu usaha bantuan yang sedang berjalan di lapangan,” katanya dalam  kenyataan. 

Kebakaran yang berlaku pada 19 April lalu itu telah memusnahkan kira-kira 1,000 buah rumah di perkampungan air tersebut, sekali gus menyebabkan ribuan penduduk hilang tempat berteduh.

Bantuan yang diserahkan merangkumi pakaian dalam AIRism baharu serta pakaian terpakai yang masih berkualiti bagi memenuhi keperluan segera keluarga mangsa yang sebahagian besarnya tidak sempat menyelamatkan barangan peribadi.

Sementara itu, Presiden MRA, Haji Khairil Annuar Khalid berkata, akses pantas kepada barangan asas adalah kritikal sejurus selepas berlakunya bencana.

“Ramai keluarga kehilangan segala-galanya termasuk pakaian. Sumbangan seperti ini membolehkan kami bertindak pantas bagi memastikan sokongan disampaikan dengan penuh maruah dan ihsan,” katanya.

MRA kini terus bekerjasama rapat dengan rakan di lapangan bagi memantau keperluan semasa mangsa yang terjejas.

Langkah ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan Uniqlo dalam memainkan peranan aktif menyumbang kepada masyarakat melalui aktiviti korporat dan pemberian pakaian di saat memerlukan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN