PETALING JAYA: Peneraju Pencipta Kediaman Sihat, Cuckoo International (MAL) Berhad (Cuckoo Malaysia) mengumumkan pelantikan bintang antarabangsa, Lee Junho sebagai Duta Jenama Global syarikat itu.
Pelantikan tersebut menandakan evolusi strategik hubungan yang bermula di Korea sejak Jun 2022, sekali gus mencerminkan komitmen Cuckoo dalam memperjuangkan kesejahteraan hidup di peringkat antarabangsa termasuk Singapura, Brunei dan Amerika Syarikat.
Di Malaysia, pelakon siri popular King the Land itu akan bergabung tenaga dengan duta sedia ada iaitu penyanyi tersohor, Datuk Sri Siti Nurhaliza dan personaliti media sosial, Phei Yong.
Ketua Pegawai Pemasaran Cuckoo Malaysia, Queenie Goh berkata, dedikasi luar biasa Lee Junho terhadap gaya hidup berdisiplin menjadikannya penzahiran sebenar kepada falsafah ‘Beyond Standards’ syarikat.
“Kecemerlangan sejati lahir daripada kesabaran dan visi yang sama. Kami telah menyaksikan sendiri kecekalan beliau, dan ini meyakinkan kami bahawa beliau bukan sekadar wakil jenama, malah ikon yang mampu menginspirasikan gaya hidup sihat.
“Kami amat teruja mengalu-alukan kehadiran beliau di Malaysia untuk bersama-sama Dato’ Sri Siti Nurhaliza dan Phei Yong dalam memperkasakan usaha kami untuk mengajak rakyat menjadi #SAMASAMAHealthier,” katanya dalam kenyataan.
Pelantikan Junho hadir pada detik kemuncak kerjayanya selepas kejayaan siri Netflix Cashero yang menduduki tangga pertama kategori TV Global Top 10 (Bukan Inggeris), serta pencalonan Pelakon Lelaki Terbaik di Anugerah Seni Baeksang bagi drama Typhoon Family.
Menerusi peranan baharu ini, Junho akan bertanggungjawab meningkatkan kesedaran terhadap ekosistem kesejahteraan holistik Cuckoo merangkumi penapis air, penapis udara, periuk nasi serbaguna dan pelbagai penyelesaian kediaman lain.
Peminat di Malaysia bakal melihat penampilan Junho melalui pelancaran papan iklan di seluruh negara serta kandungan digital eksklusif di laman media sosial rasmi Cuckoo Malaysia bermula hari ini. – UTUSAN










