8.44 bilion transaksi pembayaran digital direkodkan tahun lalu - Utusan Malaysia

8.44 bilion transaksi pembayaran digital direkodkan tahun lalu

MALAYSIA perlu menyesuaikan pendekatan teknologi dengan keadaan tempatan, memperkasa semua golongan dan membina keyakinan pembayaran digital bukan hanya mudah dan memudahkan, malah selamat dan boleh dipercayai.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Payments Network Malaysia Sdn. Bhd. (PayNet) merekodkan sebanyak 8.44 bilion transaksi pembayaran digital pada 2025, mencerminkan peningkatan ketara dalam penggunaan pembayaran digital yang semakin menjadi pilihan utama rakyat Malaysia.

Peningkatan itu didorong oleh penerimaan semakin meluas dalam kalangan bank, institusi bukan bank, perniagaan dan pengguna, sekali gus menunjukkan peranan pembayaran digital yang semakin penting dalam aktiviti harian.

Ketua Pegawai Eksekutif PayNet, Praveen Rajan berkata, pertumbuhan pembayaran digital yang berterusan mencerminkan perubahan yang semakin ketara dalam cara rakyat Malaysia mengurus kewangan harian.

“Pembayaran digital kini semakin menjadi pilihan utama dalam kalangan pengguna, perniagaan dan perkhidmatan awam.

“Ini didorong oleh hasil inovasi berterusan serta kerjasama erat antara bank, institusi bukan bank, peniaga dan kerajaan.

“Dengan peningkatan ini, PayNet kekal komited untuk menyokong pertumbuhan ekosistem pembayaran melalui usaha memperkukuh infrastruktur yang stabil, selamat dan mudah diakses di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan.

Transaksi yang direkodkan merangkumi pelbagai kegunaan harian termasuk pembelian runcit, pengangkutan, pemindahan wang antara individu serta urus niaga perniagaan kecil.

Ia sekaligus menandakan pembayaran digital kini telah menjadi sebahagian daripada rutin harian rakyat.

Beliau berkata, perkembangan tersebut selaras dengan agenda pembayaran digital negara seperti yang digariskan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

“Ia menerusi Pelan Induk Sektor Kewangan 2022-2026 serta diperkukuh dalam Laporan Tahunan 2025 BNM, yang memberi penekanan kepada akses inklusif, penggunaan yang selamat serta pembangunan infrastruktur pembayaran negara yang cekap dan boleh dipercayai.

“Pertumbuhan pada 2025 juga dipacu oleh penyertaan yang semakin meluas dalam ekosistem pembayaran, apabila bank dan institusi bukan bank terus memperluas akses kepada pengguna dan peniaga.

“Jumlah transaksi oleh bank meningkat sebanyak 30.69 peratus, manakala transaksi oleh institusi bukan bank mencatatkan pertumbuhan sebanyak 71.7 peratus, mencerminkan ekosistem pembayaran yang semakin pelbagai dan inklusif,” jelasnya.

Secara keseluruhan, peningkatan jumlah transaksi menyumbang kepadapurata 6.3 juta transaksi setiap hari berbanding 2024, dengan aktiviti pembayaran digital yang lebih ketara semasa musim perayaan dan cuti hujung tahun.

Penggunaan pembayaran digital terus berkembang dalam kalangan perniagaan dan rakyat Malaysia.

Sebanyak 681,250 tempat penerimaan baharu DuitNow QR diperkenalkan, termasuk 267,780 dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), menjadikan jumlah keseluruhan titik sentuh berdaftar di seluruh negara melebihi tiga juta.

Pertumbuhan paling ketara direkodkan di Terengganu, Kelantan dan Kedah dengan jumlah transaksi di kawasan luar bandar meningkat tiga kali ganda berbanding tahun sebelumnya.

Ia menunjukkan penggunaan yang semakin meluas dan berterusan dalam pelbagai lapisan masyarakat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN