Penggunaan digital isi rumah kekal tinggi, capai 99.5 peratus - Utusan Malaysia

Penggunaan digital isi rumah kekal tinggi, capai 99.5 peratus

SEORANG penduduk Orang Asli mencari liputan rangkaian internet dan telefon di luar kawasan rumahnya di Pos Simpor, Gua Musang, Kelantan. - UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penggunaan digital dalam kalangan isi rumah di Malaysia kekal tinggi apabila sebanyak 99.5 peratus dilaporkan mempunyai akses kepada telefon bimbit, radio dan televisyen.

Capaian kepada Internet dan komputer turut mencatat peningkatan masing-masing kepada 97.1 peratus dan 92.6 peratus, sejajar dengan pengukuhan penggunaan teknologi digital dalam masyarakat.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, Laporan Survei Penggunaan dan Capaian ICT oleh Individu dan Isi Rumah 2025 menunjukkan tahap capaian serta penggunaan ICT kekal tinggi.

Menurutnya, perkembangan itu mencerminkan usaha berterusan Malaysia dalam memperkukuh keterangkuman digital merentasi semua lapisan masyarakat.

“Dari segi lokaliti, isi rumah di kawasan bandar terus mencatat kadar capaian lebih tinggi berbanding luar bandar.

“Ini dapat dilihat melalui capaian telefon bimbit (99.8 peratus), radio (99.8 peratus), televisyen (99.7 peratus), Internet (99.0 peratus), komputer (95.3 peratus), siaran televisyen berbayar (64.4 peratus) serta telefon talian tetap (31.0 peratus).

“Bagi kawasan luar bandar, tahap capaian kekal tinggi terhadap televisyen (98.9 peratus), telefon bimbit (98.8 peratus) dan radio (98.6 peratus).

“Bagaimanapun, capaian siaran televisyen berbayar dan telefon talian tetap menunjukkan penurunan masing-masing kepada 53.9 peratus dan 15.9 peratus,” katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun, capaian kepada siaran televisyen berbayar dan telefon talian tetap turut merekodkan penurunan kepada 62.0 peratus berbanding 67.1 peratus pada 2024 serta 27.6 peratus berbanding 27.9 peratus sebelumnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, penggunaan telefon bimbit dalam kalangan individu meningkat kepada 99.6 peratus pada 2025, disokong kadar penggunaan tinggi di kawasan bandar (99.8 peratus) dan luar bandar (99.1 peratus).

“Penggunaan komputer pula meningkat kepada 81.5 peratus secara keseluruhan, didorong peningkatan di kawasan bandar (87.0 peratus) dan luar bandar (65.5 peratus).

“Tahap kemahiran ICT dalam kalangan individu kekal tinggi dengan lebih 90.0 peratus menunjukkan kecekapan dalam tugasan asas seperti menyalin atau memindahkan fail, membuat duplikasi data serta menghantar kandungan melalui pesanan digital.

“Dalam masa sama, kemahiran digital dalam kalangan belia berumur 15 hingga 24 tahun kekal tinggi dengan hampir semua indikator melebihi 80.0 peratus,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, penggunaan Internet dalam kalangan individu meningkat kepada 98.3 peratus pada 2025 berbanding 98.0 peratus pada tahun sebelumnya.

“Peningkatan ini direkodkan di kawasan bandar (99.2 peratus) dan luar bandar (95.7 peratus), dengan kadar penggunaan lelaki sebanyak 98.7 peratus dan perempuan 97.8 peratus,” ujarnya.

Mohd. Uzir berkata, gaya hidup digital yang aktif terus mendorong penggunaan Internet di Malaysia.

“Aktiviti rangkaian sosial kekal dominan dengan 99.7 peratus pengguna melibatkan diri di platform seperti Facebook, Instagram dan TikTok.

“Penggunaan media digital juga tinggi apabila 94.8 peratus individu memuat turun kandungan seperti muzik, video dan permainan.

“Selain itu, 94.6 peratus pengguna menggunakan Internet untuk mencari maklumat berkaitan barangan dan perkhidmatan, mencerminkan kebergantungan yang semakin meningkat terhadap platform digital dalam urusan harian serta proses membuat keputusan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN