PETALING JAYA: Platform media sosial, TikTok menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi digital di Malaysia apabila menyumbang sekitar RM20 bilion dalam nilai tambah kasar (GVA) atau hampir empat peratus daripada keseluruhan ekonomi digital Malaysia pada 2025.
Berdasarkan Laporan Impak Sosioekonomi Malaysia 2025 yang diterbitkan bersama Kearney, platform tersebut menyokong 147,000 peluang pekerjaan di seluruh negara melalui ekosistem pencipta kandungan, penjual dan perniagaan di TikTok, TikTok Shop dan TikTok LIVE.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, laporan ini menampilkan dapatan yang selari dengan agenda pembangunan negara dengan menyokong keutamaan nasional di bawah MYDIGITAL, Pelan Hala Tuju Strategik E-Dagang Kebangsaan (NESR) serta Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).
Katanya, ia juga memperkukuh fokus terhadap perkhidmatan kreatif dan digital seperti yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
“Ekonomi digital Malaysia kini melangkah ke fasa pertumbuhan yang lebih bermakna dan menuntut keupayaan yang lebih tinggi.
“Keberkesanan platform seperti TikTok membuktikan bahawa penglibatan digital bukan sekadar mengikut trend, malah mampu menghasilkan nilai ekonomi nyata melalui pemerkasaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), sokongan terhadap pencipta kandungan serta pembukaan ruang baharu bagi penjanaan pendapatan dan keusahawanan.
“Selaras dengan aspirasi Malaysia Madani dan hala tuju RMK-13, tumpuan kita adalah untuk memastikan pertumbuhan ini bersifat inklusif, diyakini dan mampan menerusi jalinan kerjasama erat antara kerajaan, pihak industri dan seluruh ekosistem digital negara,” katanya dalam kenyataan.
Selain itu, laporan ini mendapati peluang ekonomi yang dijana melalui TikTok adalah lebih produktif, dengan sumbangan GVA setiap individu hampir 15 peratus melebihi purata nasional.
Ini menegaskan peranan platform tersebut bukan sahaja dalam mewujudkan pekerjaan dan peluang pengewangan, tetapi juga meningkatkan kualiti serta produktiviti tenaga kerja secara keseluruhan.
Ketua Dasar Awam Malaysia di TikTok, Firdaus Fadzil berkata, TikTok komited untuk memupuk inovasi, memperluas akses inklusif serta menyokong kelestarian jangka panjang pencipta dan perniagaan Malaysia, khususnya PMKS, selaras dengan visi negara ke arah masa depan berpendapatan tinggi dan berdaya tahan digital.
“Seiring evolusi ekonomi digital, kami kekal fokus dalam membina ekosistem yang dipercayai, inklusif dan menjana nilai ekonomi yang bermakna untuk negara.”
Platform itu menjadi pemangkin kepada pertumbuhan PMKS apabila sekitar 1.8 juta perniagaan tempatan menggunakan TikTok Shop untuk memasarkan produk mereka.
Kajian turut mendapati 97 peratus perniagaan yang menggunakan platform itu menganggap TikTok sebagai sumber pendapatan penting, manakala hampir separuh melaporkan lebih 40 peratus hasil jualan mereka dijana melalui platform berkenaan.
Selain membantu meningkatkan jualan, TikTok juga mempercepatkan proses pendigitalan perniagaan tempatan apabila lebih 100,000 PMKS, khususnya di kawasan luar bandar dan separa bandar, menerima latihan serta sokongan untuk menggunakan platform itu. – UTUSAN










