PETALING JAYA: Sunway memulakan fasa kedua peluasan kemudahan SJK (C) Cheah Fah hari ini, sekali gus melambangkan komitmen jangka panjang syarikat dalam menyediakan infrastruktur pendidikan yang berkualiti di Johor.
Projek pembesaran itu, yang melibatkan penambahan 12 bilik darjah baharu, akan meningkatkan kapasiti keseluruhan sekolah daripada 1,000 kepada 1,500 murid.
Langkah ini diambil susulan lonjakan jumlah pendaftaran yang kini mencecah lebih 820 murid dalam tempoh kurang empat tahun sejak sekolah itu dibuka pada 2022.
Ketua Pegawai Eksekutif Sunway City Iskandar Puteri, Gerard Soosay berkata, pelaburan dalam pendidikan adalah asas kepada visi Sunway dalam membina komuniti yang mampan.
“Peluasan ini memastikan kapasiti pendidikan awam berkembang seiring dengan pertumbuhan penduduk di Sunway City Iskandar Puteri yang kini semakin matang sebagai destinasi utama pilihan keluarga. Pendidikan kekal sebagai asas terkuat untuk mobiliti sosial dan kami komited untuk memastikan kemudahan ini sentiasa mencukupi,” katanya dalam kenyataan semalam.
Setakat ini, Sunway telah melabur sebanyak RM23 juta untuk pembangunan sekolah berkenaan.
Jumlah ini merangkumi kos awal RM18 juta daripada Sunway dan Yayasan Jeffrey Cheah, serta komitmen tambahan RM5 juta yang dijanjikan baru-baru ini.
SJK (C) Cheah Fah merupakan sekolah jenis kebangsaan Cina pertama daripada 10 yang diluluskan di bawah peruntukan kerajaan negeri Johor.
Kerja-kerja pembinaan fasa kedua ini dijangka siap menjelang akhir tahun ini tanpa menjejaskan sesi pembelajaran sedia ada.
Peluasan kampus ini bukan sahaja memperkukuh kedudukan Sunway City Iskandar Puteri sebagai perbandaran berorientasikan keluarga, malah menonjolkan falsafah Sunway bahawa pelaburan dalam pendidikan nasional adalah sebahagian daripada identiti pembangunan perbandaran mereka.
Sehingga kini, Sunway dan Yayasan Jeffrey Cheah telah menyumbang lebih RM62 juta untuk pembangunan lapan buah sekolah angkat di seluruh negara, selain menyalurkan lebih RM967 juta dalam bentuk biasiswa dan geran pendidikan kepada pelajar yang layak. – UTUSAN










