Ringgit, Bursa Malaysia didagang dalam keadaan berhati-hati

Ringgit, Bursa Malaysia didagang dalam keadaan berhati-hati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ringgit didagangkan dalam keadaan berhati-hati, selari dengan Bursa Malaysia yang kembali menghampiri paras psikologi 1,700 mata susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat yang menekan sentimen pelabur global.

Pada penutup dagangan semalam, ringgit ditutup lebih rendah pada 3.9440, manakala indeks petunjuk utama Bursa Malaysia, FBM KLCI hilang 13.73 mata apabila ditutup pada 1,698.22 berbanding 1,711.95 ketika penutup pada Selasa.

Pakar Ekonomi Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK), Prof. Emeritus Barjoyai Bardai berkata, pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS) susulan konflik melibatkan Iran, Israel dan AS terus memberi tekanan kepada mata wang pasaran sedang pesat membangun, termasuk ringgit. 

“Pelabur global dilihat beralih kepada aset selamat seperti dolar AS dan emas, sekali gus menyusutkan aliran masuk dana ke pasaran Asia.

“Setakat 3 hingga 4 Mac 2026, Bursa Malaysia mencatatkan turun naik ketara dalam tempoh beberapa hari kebelakangan ini, dipacu oleh sentimen luaran yang tidak menentu.

“Namun begitu, sentimen kekal rapuh apabila pasaran kembali dibuka rendah susut 0.41 peratus kepada 1,704.94 mata,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Menurut Barjoyai, kebimbangan terhadap kemungkinan konflik Asia Barat berpanjangan terus membayangi pasaran serantau.

“Saya berpendapat paras 1,700 mata kini menjadi sokongan kritikal buat FBM KLCI. 

“Sekiranya sentimen global terus negatif dan harga minyak kekal tinggi, indeks berpotensi menguji semula paras tersebut dalam tempoh terdekat,” katanya. 

Secara keseluruhan, jelasnya, kelemahan semasa pasaran kewangan tempatan dilihat lebih dipengaruhi faktor luaran berbanding isu fundamental domestik. 

“Pergerakan seterusnya dijangka bergantung kepada perkembangan geopolitik, hala tuju harga minyak mentah serta dasar monetari global dalam tempoh terdekat,” katanya.

Sementara itu, Profesor Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Mohd. Rizal Palil berkata, prestasi Bursa Malaysia dijangka kekal lemah dalam suasana pasaran yang tidak menentu. 

“Pelabur dilihat mengambil pendekatan tunggu dan lihat, khususnya terhadap perkembangan terkini konflik Iran–AS yang berpotensi mempengaruhi aliran modal global.

“Setakat ini, hanya pelabur institusi tempatan dilihat aktif menyokong pasaran, manakala penyertaan pelabur asing dan runcit masih berhati-hati,” katanya. 

Mengulas lanjut, jelas beliau, ringgit dijangka mengalami sedikit kejatuhan berbanding dolar AS dalam tempoh terdekat, dengan julat dagangan dianggarkan antara RM3.95 hingga RM4.00.

“Penyusutan ini didorong oleh faktor kekurangan permintaan terhadap mata wang tempatan serta ketegangan geopolitik yang memuncak di Asia Barat. 

“Konflik yang melibatkan Iran dan AS terus menjejaskan sentimen pasaran global, sekaligus meningkatkan permintaan terhadap aset selamat seperti dolar AS.

“Bagaimanapun, kejatuhan ringgit ini bersifat sementara, memandangkan tekanan utama berpunca daripada ketidaktentuan geopolitik luaran. Ringgit dijangka menyusut sedikit ke paras RM3.95 susulan permintaan yang masih sederhana terhadap mata wang tempatan,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN