PETALING JAYA: Proton International Corporation Sdn. Bhd. (PICSB) memperkenalkan model Saga serba baharu di Brunei Darussalam sebagai pasaran antarabangsa pertama.
Langkah ini sejajar strategi pertumbuhan berteraskan eksport syarikat, sekali gus mencerminkan kedudukan Brunei sebagai rakan luar negara utama Proton, selain menjadikan Saga model kedua dilancarkan di negara itu pada 2026 selepas Proton X50 pada 15 Januari.
Ketua Pegawai Eksekutif PICSB, Edmund Lim Meng Thong berkata, pelancaran itu mencerminkan hasrat Proton untuk meningkatkan volum eksport dengan memperkukuh kehadiran dalam segmen peringkat permulaan di pasaran serantau.
“Dengan memanfaatkan teknologi proprietari seperti platform Advanced Modular Architecture (AMA), kami menyasarkan peningkatan pegangan pasaran di ASEAN serta memperkukuh strategi pertumbuhan berteraskan eksport selaras dengan matlamat jangka panjang syarikat.
“Sebagai antara pasaran eksport terawal Proton, Brunei kekal memainkan peranan penting dalam pelan pengembangan antarabangsa syarikat.
“Dalam usaha mempercepat peluasan di ASEAN, negara itu terus menjadi antara platform utama bagi pelancaran model baharu, disokong oleh penerimaan pasaran yang konsisten serta usaha pembangunan rangkaian oleh PAD Motors,” katanya dalam kenyataan.
Langkah itu turut mencerminkan perkembangan Proton dalam fasa baharu mobiliti Malaysia apabila kejuruteraan dan harta intelek yang dibangunkan secara tempatan kini melangkaui pasaran domestik.
Sebagai model eksport pertama yang dibina berasaskan platform AMA, Proton Saga Serba Baharu menerima penambahbaikan dari segi struktur, keselamatan dan keterhubungan, termasuk enam beg udara serta unit infotainmen bersaiz 12 inci.
Penambahbaikan ini memperkukuh daya saing model tersebut dalam segmennya, selari dengan peranan eksport sebagai pemacu utama pertumbuhan masa hadapan Proton.
Dengan lebih 20,000 unit telah didaftarkan sejak pelancarannya di Malaysia, prestasi Proton Saga Serba Baharu memberi keyakinan untuk pengembangannya ke pasaran Brunei.
Momentum ini turut disokong oleh pertumbuhan eksport Proton yang merekodkan 6,000 unit tahun lalu, selaras sasaran menjadikan eksport menyumbang 30 peratus daripada jumlah jualan menjelang 2030 serta memperluas kehadiran ke sekurang-kurangnya 32 negara.
Bagi pasaran Brunei, Proton Saga Serba Baharu ditawarkan pada harga B$16,800 (RM51,813.69) bagi varian Executive dan B$18,800 (RM57,981.99) untuk varian Premium.
Sebagai tawaran pengenalan, sebanyak 100 pelanggan terawal akan menikmati diskaun sebanyak B$500 (RM1,542.07).
Model ini turut didatangkan dengan waranti lima tahun atau sehingga 150,000 kilometer, selain tiga kali servis percuma melibatkan upah buruh.-UTUSAN











