Malaysia Airports urus hampir 8.9 juta penumpang pada Februari - Utusan Malaysia

Malaysia Airports urus hampir 8.9 juta penumpang pada Februari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia Airports merekodkan sebanyak 8.9 juta pergerakan penumpang di seluruh rangkaian lapangan terbang tempatannya pada Februari 2026, menjadikan jumlah terkumpul bagi dua bulan pertama tahun ini mencecah 18.3 juta penumpang.

Angka itu mencatatkan peningkatan 5.8 peratus tahun ke tahun berbanding tempoh sama pada 2025.

Pertumbuhan tersebut disokong oleh pengenalan perkhidmatan baharu syarikat penerbangan serta peningkatan kekerapan penerbangan di laluan serantau utama sempena tempoh perjalanan Tahun Baharu Cina.

Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Mohd. Izani Ghani berkata, trafik penumpang bagi dua bulan pertama 2026 menunjukkan permulaan yang stabil di seluruh rangkaian lapangan terbang tempatan.

“Ini mencerminkan peluasan hubungan rangkaian dan permintaan berterusan terhadap perjalanan udara, walaupun jumlah penumpang meningkat, standard perkhidmatan kekal terpelihara.

“Ini seperti dibuktikan oleh Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LGK) yang menerima pengiktirafan kali kelima berturut-turut pada Februari sebagai Lapangan Terbang Terbaik di Asia Pasifik (dua hingga lima juta penumpang).

“Lapangan terbang itu menerima bagi Anugerah Kualiti Perkhidmatan Lapangan Terbang (ASQ) 2025 oleh Airports Council International (ACI),” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, sepanjang bulan berkenaan, beberapa perkhidmatan penerbangan baharu diperkenalkan.

“Greater Bay Airlines melancarkan penerbangan sewa khas antara Hong Kong (HKG) dan KLIA Terminal 2 (KUL), manakala China Eastern Airlines memulakan operasi penerbangan sewa khas dari Hefei (HFE).

“Batik Air Malaysia pula memulakan laluan antara Kota Kinabalu (BKI) dan Singapura (SIN), manakala Firefly memperkenalkan laluan sewa khas dari Tawau (TWU) ke Nanjing (NKG).

“Selain itu, Spring Airlines memulakan perkhidmatan antara Pulau Pinang (PEN) dan Guangzhou (CAN), sementara Xiamen Airlines melancarkan laluan baharu yang menghubungkan Kuala Lumpur (KUL) dan Hangzhou (HGH),” ujarnya.

Musim perayaan Tahun Baharu Cina turut menyaksikan peningkatan kekerapan penerbangan di beberapa laluan domestik dan serantau.

“Syarikat penerbangan, termasuk Malaysia Airlines, Firefly, AirAsia dan Batik Air menambah perkhidmatan ke destinasi berpermintaan tinggi seperti Kuching, Johor Bahru, Tawau dan Sibu.

“Ini bagi menampung peningkatan permintaan perjalanan bermusim apabila orang ramai pulang ke kampung halaman serta destinasi percutian,” katanya.

Beliau berkata, bagi Februari, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mengendalikan 5.5 juta penumpang, terus menjadi pemacu utama trafik antarabangsa khususnya bagi laluan yang menghubungkan Asia Tenggara, China dan hab serantau utama lain.

“Lapangan terbang utama lain seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (BKI) turut mencatatkan aliran penumpang yang kukuh dengan 760,620 pergerakan pada Februari, meningkat 1.3 peratus berbanding Januari.

“Walaupun permintaan penumpang di rantau ini kekal berdaya tahan, Malaysia Airports terus memantau rapat perkembangan global yang memberi kesan kepada sektor penerbangan termasuk situasi semasa di Asia Barat,” jelasnya.

Kumpulan itu kekal komited untuk memastikan operasi yang selamat, boleh dipercayai dan cekap di seluruh rangkaian lapangan terbangnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN