PETALING JAYA: Empire Premium Food Bhd. (Empire Premium), syarikat induk kepada Empire Sushi Sdn. Bhd. menyasarkan meraih dana sebanyak RM152.6 juta menerusi tawaran awam permulaan (IPO) bersempena penyenaraiannya di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd. pada 17 April ini.
Langkah tersebut menandakan usaha penting kumpulan pengendali jenama Empire Sushi itu
yang melancarkan prospektusnya hari ini dalam mempercepatkan pertumbuhan dan mengukuhkan kedudukan sebagai rangkaian sushi terbesar di Malaysia dari segi hasil dan jumlah cawangan.
Menurut kenyataannya, IPO Empire Premium melibatkan tawaran sehingga 363 juta saham biasa, yang terdiri daripada 218.0 juta saham baharu melalui tawaran awam dan sehingga 145 juta saham sedia ada melalui tawaran untuk jualan, mewakili kira-kira 33 peratus daripada jumlah saham selepas penambahan.
Katanya, IPO ini dijangka menjana kira-kira RM152.6 juta daripada tawaran awam pada harga IPO 70 sen sesaham.
Jelasnya, kumpulan telah merancang untuk menggunakan kira-kira 51.8 peratus daripada hasil IPO untuk pengembangan 56 cawangan baharu dalam format grab-and-go dan quick dine-in sepanjang tiga tahun kewangan akan datang.
Sementara itu, 8.3 peratus akan diperuntukkan untuk menaik taraf dan memperbaharui cawangan sedia ada yang terpilih, manakala 34.1 peratus lagi akan digunakan untuk modal kerja dan baki 5.8 peratus diperuntukkan bagi menampung yuran dan perbelanjaan berkaitan IPO.
“Berdasarkan jumlah saham selepas penambahan dan harga IPO 70 sen sesaham, permodalan pasaran syarikat dijangka mencapai kira-kira RM770 juta selepas penyenaraian.
“Kumpulan juga mempunyai dasar dividen yang menyasarkan pembayaran sekurang-kurangnya 30 peratus daripada keuntungan selepas cukai yang boleh diagihkan kepada pemilik syarikat,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Empire Premium, Nicole Lim berkata, pelancaran prospektus itu menandakan satu pencapaian penting ketika kumpulan bersiap sedia untuk memulakan fasa pertumbuhan seterusnya sebagai syarikat tersenarai awam.
“Kami akan terus membangunkan menu sushi baharu yang berkualiti tinggi dan sedap, sambil mengekalkan harga mampu milik untuk pelanggan, sejajar dengan misi kami membawa sushi ke dalam kehidupan seharian,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Investment Bank Berhad, Michael Oh-Lau berkata, pihaknya berbangga dapat menyokong Empire Premium mencapai pencapaian penting ini.
“Dengan pasaran domestik Malaysia yang kukuh dan permintaan pengguna yang semakin matang terhadap pilihan makanan berkualiti tinggi dan mampu milik, kami yakin kumpulan berada pada kedudukan baik untuk memperkukuh kepimpinan pasaran.
“Kami menantikan peluang untuk memperdalam kerjasama dengan Empire Premium sewaktu ia terus mengembangkan aspirasi pertumbuhan,” jelasnya.
Permohonan bagi tawaran runcit dibuka hari ini dan akan ditutup pada pukul 5 petang, 31 Mac 2026. – UTUSAN











