Levia Residence capai kadar jualan 88 peratus - Utusan Malaysia

Levia Residence capai kadar jualan 88 peratus

PENGASAS dan Timbalan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Matrix Concept Holdings, Datuk Seri Lee Tian Hock (lima kiri) dan Kelvin Lee Chin Chuan (empat kanan) bersama pengurusan tertinggi pada Majlis Topping Out Levia Residence Kuala Lumpur di Pandan Perdana Ampang, semalam. - UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Matrix Concepts Holdings Berhad mengumumkan penyiapan struktur utama Levia Residence, sekali gus menandakan pembangunan keduanya di Lembah Klang sejak memasuki pasaran.

Pembangunan kediaman 36 tingkat dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM523 juta itu juga mencapai kadar jualan memberangsangkan sebanyak 88 peratus setakat ini.

Levia Residence Kuala Lumpur yang dijadualkan siap pada awal 2027 itu direka untuk mentakrifkan semula kehidupan bandar mewah dengan menggabungkan suasana rumah yang selesa bersama kemudahan premium berinspirasikan hotel.

Pembangunan ini direka untuk gaya hidup moden di bandar dengan memberi penekanan kepada reka bentuk teliti, kemudahan berkualiti serta pengalaman kehidupan yang lebih baik, selaras dengan fokus pembangunan Matrix Concepts.

Pengarah Eksekutif Kumpulan, Kelvin Lee Chin Chuan berkata, projek itu merupakan pencapaian penting dalam perjalanan syarikat di Lembah Klang.

“Sejak 2018, kami berkembang secara berperingkat dan berdisiplin. 

“Pencapaian ini mencerminkan keyakinan kami terhadap prospek jangka panjang rantau ini serta kerjasama kukuh antara pasukan dan rakan kongsi kami,” katanya kepada pemberita pada Majlis “Topping-Out” Levia Residence di sini semalam.

Kelvin berkata, projek tersebut dijangka memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) pada Februari tahun depan, dengan penyerahan kunci kepada pembeli disasarkan sekitar April atau Mei.

“Kami optimis baki unit yang masih belum terjual dapat diserap sepenuhnya oleh pasaran sebelum akhir tahun ini, dengan unit yang masih tersedia terdiri daripada unit bersaiz besar dan kecil.

“Dari segi profil pembeli, majoriti terdiri daripada pembeli tempatan di sekitar kawasan Cheras, dengan pembeli berbangsa Cina mendominasi, diikuti oleh pembeli Melayu dan India, selain terdapat juga minat daripada pembeli asing,” katanya. 

Levia Residence turut menampilkan konsep pembangunan berorientasikan transit (TOD) kerana lokasinya yang berada dalam jarak berjalan kaki ke stesen Light Rail Transit (LRT) Kuala Lumpur, menjadikannya sesuai bukan sahaja untuk keluarga, malah golongan profesional muda serta pembeli yang mengutamakan akses pengangkutan awam.

Harga unit di projek tersebut bermula sekitar RM550,000 dan boleh mencecah sehingga RM1.2 juta bagi unit bersaiz lebih besar.

Selain itu, Levia Residence Kuala Lumpur juga merupakan projek bangunan tinggi pertama kumpulan yang dilaksanakan sepenuhnya oleh pasukan pembinaan dalaman syarikat, sekali gus mencerminkan keupayaan Matrix Concepts yang semakin kukuh dalam pelaksanaan projek.

Melangkah ke hadapan, Levia Puchong, pembangunan bernilai RM750 juta yang merangkumi dua menara dan 1,336 unit dijangka terus mengukuhkan kehadiran Matrix Concepts Holdings Berhad di Lembah Klang dengan menawarkan konsep keselesaan premium, kemudahan moden serta kehidupan komuniti yang dinamik.

Dengan portfolio projek yang terus berkembang serta pemerolehan tanah strategik untuk pembangunan masa depan, syarikat itu dijangka terus memperkukuh kedudukannya di Lembah Klang sambil menyumbang kepada pembangunan landskap bandar yang semakin pesat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN