PETALING JAYA: Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berhasrat untuk kembali menyertai UMNO selepas kepimpinan parti itu membuka ruang kepada bekas ahli dipecat atau digantung.
Menurut Khairy, kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang membuka pintu tanpa syarat kepada bekas ahli dilihat sebagai satu perkembangan positif dan murni.
“Bila sudah diundang begitu, saya dah lama sebut bahawa saya ingin kembali ke UMNO. Saya lihat ini sebagai satu perkembangan yang positif dan peluang yang murni secara peribadi,” katanya dalam audio siar Keluar Sekejap.
Terdahulu, Ahmad Zahid mempelawa mana-mana bekas ahli yang pernah dipecat untuk kembali tanpa syarat sebagai usaha menyatukan semula kekuatan parti di bawah pintu Rumah Bangsa.-UTUSAN










