Kenaikan harga tenaga beri kesan margin keuntungan

Kenaikan harga tenaga beri kesan margin keuntungan

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KENAIKAN kos tenaga, khususnya peningkatan harga diesel kepada RM4.72 seliter baru-baru ini, memberi impak besar terhadap kos operasi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia, menurut Persatuan Pengusaha Kecil dan Sederhana (Samenta).

Pengerusi Samenta Pusat, Datuk William Ng berkata, bagi kebanyakan PKS, kos tenaga dan logistik merangkumi antara 15 hingga 25 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan operasi.

“Lonjakan kos yang berlaku dalam tempoh singkat ini bukan sahaja menjejaskan aliran tunai, malah berpotensi menghapuskan margin keuntungan bersih tahunan syarikat. 

“Antara sektor yang paling terkesan ialah pembuatan, pembinaan dan pelancongan terutamanya pengusaha bas persiaran yang bergantung sepenuhnya kepada diesel industri dan jentera berat tanpa subsidi langsung.

“Dalam jangka pendek, kebanyakan PKS terpaksa mengambil langkah berjimat cermat dengan mengecilkan margin keuntungan serta menyerap kenaikan kos bagi mengekalkan pelanggan. Namun, pendekatan ini dilihat tidak mampan untuk tempoh panjang,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sebagai langkah strategik, PKS disaran melaksanakan audit tenaga bagi mengenal pasti pembaziran serta meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga. 

“Selain itu, pelaburan dalam teknologi hijau dan tenaga boleh diperbaharui seperti solar dilihat sebagai penyelesaian praktikal untuk mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil.

“Walau bagaimanapun, kekangan modal kekal menjadi cabaran utama. 

“Sehubungan itu, sokongan dalam bentuk geran dan pembiayaan faedah rendah amat diperlukan bagi membantu PKS beralih kepada penggunaan tenaga yang lebih cekap tanpa menjejaskan kestabilan kewangan,” katanya. 

Dalam usaha mengekalkan daya saing, syarikat juga digalakkan meningkatkan produktiviti melalui pendigitalan dan automasi bagi mengimbangi kenaikan kos input. 

“Namun begitu, beban ini tidak seharusnya ditanggung sepenuhnya oleh pihak industri.

“Samenta menggesa kerajaan dan badan pengawal selia untuk menyemak semula kriteria kelayakan subsidi diesel agar lebih inklusif, khususnya melibatkan PKS dalam rantaian bekalan kritikal yang kini tidak menerima bantuan. 

“Selain itu, pelaksanaan insentif cukai yang lebih progresif bagi peralatan cekap tenaga serta subsidi bersasar yang lebih meluas dilihat sebagai langkah penting,” katanya. 

Dalam pada itu, langkah-langkah ini bukan sahaja dapat memastikan kelangsungan perniagaan PKS, malah membantu mengekang kenaikan harga barangan yang boleh membebankan pengguna dalam jangka masa panjang.

Sementara itu, Pakar Ekonomi Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK), Prof. Emeritus Barjoyai Bardai berkata, beberapa sektor didapati lebih terdedah berbanding yang lain, khususnya industri berintensiti tenaga seperti pembuatan dan industri berat. 

“Pengeluar dilaporkan menghadapi peningkatan bil sekitar lima hingga tujuh peratus dengan kesan lebih besar kepada syarikat yang tidak menerima rebat kos penjanaan.

“Sektor pusat data pula muncul antara yang paling terkesan, memandangkan elektrik merangkumi sehingga 40 peratus kos operasi. 

“Tarif baharu dianggarkan meningkatkan kos operasi antara 10 hingga 14 peratus, dengan pusat data berskala besar berpotensi menanggung tambahan kos sehingga AS$15 juta hingga AS$20 juta setahun,” katanya. 

Dalam sektor logistik, peruncitan dan makanan dan minuman, margin keuntungan yang kecil menjadikan kenaikan kos tenaga lebih membebankan. 

“Sesetengah pemain industri menganggarkan peningkatan kos sehingga lapan peratus termasuk kesan gabungan tarif elektrik dan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

“Bagi pengguna komersial dan industri umum, kenaikan tarif boleh mencecah sehingga 62 peratus bergantung kepada corak penggunaan dan caj kapasiti,” katanya. 

Bagi mengurangkan impak jangka pendek, syarikat kini giat mengoptimumkan penggunaan tenaga, termasuk mengalihkan operasi ke waktu luar puncak melalui skim Time-of-Use (TOU) yang diperbaharui. Selain itu, audit tenaga dan peningkatan kecekapan sistem menjadi keutamaan, dengan lebih 63 peratus syarikat telah melabur dalam inisiatif berkaitan.

“Penggunaan automasi dan pemantauan digital turut meningkat, disokong tahap kesiapsiagaan digital Malaysia yang tinggi, membolehkan syarikat memantau penggunaan tenaga secara masa nyata,” katanya. 

Dalam jangka panjang, peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui dilihat sebagai langkah strategik utama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN