BAITULMUQADDIS: Tentera Israel mengumumkan pada Ahad tentang kematian seorang anggota tentera dalam pertempuran di selatan Lubnan.
“Koperal Moshe Yitzchak Hacohen Katz, (berusia) 22 tahun, dari New Haven, Connecticut, seorang anggota Batalion ke-890, Briged Payung Terjun, terkorban semasa pertempuran di selatan Lubnan,” menurut kenyataan tentera itu.
Sehingga kini, lima tentera Israel telah terkorban dalam pertempuran di selatan Lubnan sejak Hizbollah mula melancarkan serangan roket ke atas Israel pada 2 Mac sebagai balasan terhadap pembunuhan Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei.
Tentera itu menambah bahawa tiga lagi askar cedera akibat tembakan roket dan telah dihantar ke hospital untuk menerima rawatan.
Sementara itu, Israel membunuh tiga wartawan di selatan Lubnan pada Sabtu, menurut saluran televisyen di negara haram itu dan pihak berkuasa.
Ia kemudian mencetuskan kecaman daripada kerajaan Lubnan yang menggelar pembunuhan itu sebagai jenayah perang terang-terangan.
Presiden Lubnan, Joseph Aoun mengecam pembunuhan itu, menyifatkannya sebagai jenayah terang-terangan yang melanggar semua norma dan perjanjian di mana wartawan menikmati perlindungan antarabangsa semasa perang.
Perdana Menteri Nawaf Salam berkata bahawa menyasarkan wartawan merupakan pelanggaran terang-terangan undang-undang kemanusiaan antarabangsa, manakala Menteri Maklumat, Paul Morcos menyifatkan tindakan itu sebagai jenayah perang.
Wartawan yang terkorban ialah Ali Shoeib dari stesen televisyen al-Manar dan Fatima Ftouni serta saudara kandungnya, Mohammed Ftouni, seorang jurukamera dari saluran pro-Hizbollah, al-Mayadeen. Mereka terkorban dalam serangan yang menyasarkan kereta mereka.
Israel mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu tidak lama selepas itu.
Ia menyatakan bahawa sasaran adalah Shoeib, yang dituduh menganggotai unit risikan yang melaporkan lokasi tentera Israel di selatan Lubnan.
Tentera Israel tidak memberikan bukti lanjut untuk menyokong dakwaan tersebut dan tidak memberi komen mengenai kematian wartawan lain. – AFP/AGENSI










