BERMULA sekadar usaha sambilan pada hujung minggu, minat terhadap rekaan beg kini berkembang menjadi perniagaan beg yang semakin mendapat tempat dalam kalangan profesional industri kreatif di Malaysia menerusi jenama Nawre.
Pengasasnya, Nik Erwan Roseli, 41, mengusahakan perniagaan beg tersebut sepenuhnya secara dalam talian, menawarkan beg yang praktikal, serbaguna dan bergaya untuk memudahkan kerja harian pelanggan, khususnya mereka yang berada dalam industri fesyen, solekan dan pengayaan.
Nik Erwan berkata, minat dan keyakinannya untuk menceburi dunia perniagaan banyak dipengaruhi oleh pengalaman sendiri bekerja dalam industri kreatif sejak muda.
“Saya sering bekerjasama dengan penata gaya, jurusolek dan pereka fesyen. Mereka perlukan beg yang boleh muat semua peralatan kerja mereka. Dari situ saya mula fikir untuk cipta beg yang praktikal tetapi tetap bergaya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, Nik berkata, langkah awal Nawre bermula secara tidak formal pada 2021, ketika Nik menjual beg secara sambilan pada hujung minggu sambil masih bekerja sepenuh masa.
Koleksi ini hadir dalam empat pilihan warna yang menawan iaitu hitam, coklat, oat, dan hitam anyaman.
“Antara pelanggan terawal yang memberi sokongan ialah Hael Husaini, yang membeli tiga unit sekali gus.
“Selepas itu, ramai rakan-rakan dalam industri mula berminat dan meminta saya membuat beg untuk kegunaan kerja mereka. Dari situ, perniagaan ini mula berkembang secara perlahan,” jelasnya.
Perkembangan lebih besar berlaku apabila Nik menumpukan usaha sepenuhnya pada Nawre dan mula mempromosikan produk melalui platform digital seperti Instagram dan TikTok.
Nawre menawarkan beg yang boleh laras saiznya, mempunyai banyak kompartmen dan direka tahan lasak serta serbaguna.
“Setiap beg direka untuk memudahkan kerja harian, dari menyimpan alat solek, baju bersaiz besar (oversize) dan aksesori lain. Beg ini praktikal tetapi tetap estetik,” katanya.
Dalam pada itu, Nik turut berkongsi cabaran utama yang dihadapi iaitu dari segi kos pembuatan dan penghantaran.
“Untuk menghasilkan beg berkualiti, kami memerlukan modal yang besar. Saya banyak urus penghantaran sendiri supaya beg sampai dengan selamat. Kadang-kadang pelanggan ambil sendiri atau saya hantar terus,” tambahnya.
Nik juga menekankan bahawa kreativiti dan fungsi adalah dua elemen penting dalam rekaan Nawre.
“Sungguh kreatif cara mereka menggayakan beg ini. Malah, saya sendiri tidak menyangka koleksi Nawre mampu tampil pelbagai gaya itu.
“Beg ini fleksibel, boleh bawa payung kecil, ada bahagian untuk alat kecil dan sesuai dibawa ke mana-mana. Ia bukan sekadar gaya, tetapi benar-benar memudahkan pengguna,” katanya.
Walaupun beroperasi sepenuhnya atas talian, Nik bercadang untuk bekerjasama dengan kedai konsep (concept store) tempatan seperti di Shoppes, Four Seasons bagi memudahkan pelanggan melihat dan membeli beg secara langsung.
“Walaupun belum mempunyai kedai fizikal, sambutan daripada pelanggan amat memberangsangkan, khususnya dalam industri kreatif.
“Beg Nawre bukan sahaja diminati oleh penata gaya dan jurusolek, tetapi juga individu yang gemarkan beg bersaiz besar dan serbaguna,” katanya.
Nik Erwan bercadang untuk memperkenalkan aksesori tambahan seperti pemegang kad dan tali beg yang dijual berasingan serta keluaran edisi khas mengikut musim atau perayaan dengan material eksklusif seperti velvet atau cantingan lukisan di begnya.
“Matlamat saya bukan semata-mata menjual beg, tetapi mencipta pengalaman dan produk yang berguna dan estetik.
“Saya juga berharap dapat bekerjasama dengan jenama tempatan lain dalam acara atau festival perayaan untuk memberi lebih banyak pilihan kepada pelanggan,” katanya.
Bagi mereka yang berhasrat menceburi dunia keusahawanan, Nik Erwan menyarankan agar tidak terburu-buru mengorak langkah.
Sebaliknya, beliau menekankan kepentingan menimba pengalaman dengan bekerja dalam industri terlebih dahulu demi memahami selok-belok pasaran yang sebenar.
“Melangkah ke dunia perniagaan tanpa sebarang persediaan ibarat membiarkan diri terdedah kepada kekecewaan. Tanpa bimbingan pengalaman orang lain, kita mudah tersungkur.
“Oleh itu, timbalah ilmu dengan bekerja dalam bidang tersebut terlebih dahulu. Kenali selok-belok cabarannya agar anda mampu mengemudi perniagaan dengan lebih bijak dan berstrategi,” ujarnya. – UTUSAN









