Harga minyak, emas melonjak susulan perang AS-Iran

Harga minyak, emas melonjak susulan perang AS-Iran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:  Harga minyak dan emas melonjak tinggi pada Isnin susulan ketegangan di Asia Barat yang dijangka berlarutan selama beberapa minggu, sekali gus mengancam pemulihan ekonomi global serta berpotensi mencetuskan semula tekanan inflasi.

Minyak mentah Brent naik 6.4 peratus kepada AS$77.57 setong (RM303.30)  selepas pada satu ketika melepasi paras AS$82.00 (RM321) setong sebelum ditutup pada AS$78.76 (RM308.08) manakala minyak mentah Amerika Syarikat (AS) meningkat 6.2 peratus kepada AS$71.17 setong (RM278.50). 

Emas, yang dianggap aset selamat, turut meningkat 1.6 peratus kepada AS$5,360 seauns, sebelum ditutup pada AS$5,412.50 seauns (RM682.42 segram).

Tumpuan kini terarah kepada Selat Hormuz, laluan strategik di mana kira-kira satu perlima perdagangan minyak laut dunia dan 20 peratus gas asli cecair global mengalir. 

Walaupun laluan penting ini belum disekat, laman web pengesanan maritim menunjukkan tangki-tangki minyak berkumpul di kedua-dua sisi selat berkenaan, dipercayai bimbang diserang atau menghadapi kesukaran mendapatkan insurans untuk pelayaran mereka.

Penganalisis ekonomi, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, sekiranya Selat Hormuz ditutup, laluan strategik yang digunakan untuk kira-kira satu perlima daripada perdagangan minyak dan gas dunia bakal menekan bekalan dan mendorong kenaikan harga minyak.

“Jika krisis berlanjutan, harga minyak berkemungkinan meningkat antara AS$100 (RM390) hingga AS$150 (RM586) setong, namun kenaikan dijangka berlaku secara beransur-ansur.

“Sekiranya keadaan berterusan, harga Brent berpotensi melepasi AS$100 dalam tempoh satu minggu atau lebih cepat, sekali gus meningkatkan kos sara hidup dan kos pengeluaran secara keseluruhan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Serangan ketenteraan oleh AS dan Israel ke atas Iran dilaporkan masih berterusan, manakala Iran bertindak balas dengan melancarkan serangan peluru berpandu di seluruh rantau, sekali gus meningkatkan risiko negara jiran turut terheret ke dalam konflik.

Barjoyai berkata, dari segi emas pula, apabila berlakunya peperangan dan krisis, pelabur cenderung beralih daripada pasaran saham kepada aset yang lebih stabil, dengan emas menjadi pilihan utama.

“Hari ini (semalam), harga emas meningkat 2.46 peratus kepada AS$5,406 seauns. Dalam krisis kali ini, kedua-dua emas dan dolar AS biasanya menjadi aset pilihan. Bagaimanapun, kerana konflik turut melibatkan AS, pelabur lebih tertumpu kepada emas berbanding dolar.

“Isu yang sering dipersoalkan ialah mengapa perak tidak naik secepat emas. Ini kerana terdapat aktiviti pasaran lain yang mempengaruhi harga perak. 

“Namun, dalam jangka panjang, perak dijangka mengikuti trend emas dan berpotensi mencatat kenaikan lebih tinggi pada kadar tertentu,” jelasnya.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN