PETALING JAYA: Indeks penanda aras pasaran saham tempatan, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) kembali menyusut di bawah paras 1,700 mata berikutan faktor geopolitik dunia yang tidak menentu, sekali gus mencetuskan sentimen berhati-hati dalam kalangan pelabur.
Ketidaktentuan itu berpunca daripada konflik yang berlaku antara Amerika Syarikat (AS) bersama Israel dengan Iran yang masih belum menunjukkan tanda akan berakhir, sehingga meningkatkan risiko kerugian di pasaran global.
Pensyarah Kanan Ekonomi dan Perbankan, Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Mohd. Faisol Ibrahim berkata, situasi ini menyebabkan para pelabur berhadapan risiko tinggi berikutan pasaran komoditi global termasuk minyak dan kewangan dunia dijangka mengalami pasang surut tidak menentu.
“Bursa kembali ke paras bawah 1,700 mata kerapa faktor geopolitik yang pelabur berhadapan ketidaktentuan di dalam pasaran kewangan dunia,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Bagaimanapun, di sebalik prestasi bursa yang mencabar, mata wang tempatan menunjukkan trend berbeza apabila diunjur terus mengukuh dalam julat antara 3.88 sehingga 3.90 berbanding dolar AS dalam tempoh terdekat.
Pada pukul 5 petang semalam, ringgit ditutup rendah pada 3.9300/3.9350 berbanding 3.8880/3.8940 pada sesi dagangan akhir Jumaat lalu.
Mohd. Faisol berkata, kedudukan ringgit pada paras sekarang adalah bersifat jangka masa panjang dan bukannya sementara hasil kekuatan ekonomi domestik yang berjaya dirangsang melalui dasar-dasar kerajaan yang berkesan.
“Ini disebabkan kekuatan ekonomi Malaysia sendiri yang berjaya dilaksanakan melalui dasar-dasar dan polisi yang berjaya merangsang ekonomi negara khususnya ekonomi domestik.
“Kejayaan ini menyebabkan pemain-pemain industri berasa yakin dengan keupayaan ekonomi Malaysia yang mampu mengharungi ekonomi global tidak menentu akibat geopolitik dunia yang tidak stabil sehingga hari ini,” katanya.
Tambah beliau, Malaysia dijangka mendapat manfaat yang begitu banyak dari sudut nilai jumlah dagangan eksport dan import, selain mampu menarik pelabur asing untuk terus menjadikan negara sebagai destinasi pelaburan selamat.
“Ini kerana keupayaan negara mengekalkan kestabilan politik yang akhirnya mempengaruhi kestabilan kewangan, memandangkan Malaysia merupakan anggota pertubuhan Negara-Negara Berkecuali (NAM),” tambahnya.
Indeks petunjuk utama Bursa Malaysia, FBM KLCI ditutup rendah pada paras 1,700 mata dengan penurunan sebanyak 16.40 mata atau 0.96 peratus pada sesi dagangan semalam.
Sementara itu, Pengarah Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn. Bhd., Mohd. Sedek Jantan berkata, kejatuhan FBM KLCI didorong oleh kemerosotan mendadak sentimen risiko susulan ketegangan AS-Iran yang mencetuskan penjualan besar-besaran ekuiti serantau.
Katanya, reaksi pasaran mencerminkan tingkah laku mengelak risiko global dengan pelabur mengurangkan pendedahan kepada aset kitaran dan aset ‘high-beta’ ekoran kebimbangan gangguan bekalan serta kenaikan harga tenaga.
“Sektor teknologi mendahului penurunan dengan Indeks Teknologi Bursa Malaysia jatuh 2.94 peratus, mencerminkan sensitiviti terhadap ketidaktentuan pertumbuhan global.
“Saham pengguna dan peruncitan turut menerima tekanan hebat dengan penurunan sehingga 7.26 peratus akibat kebimbangan inflasi tolakan kos, manakala saham bahan asas muncul sebagai berprestasi tinggi dengan kenaikan sehingga 13 peratus disokong lonjakan harga tenaga,” katanya. -UTUSAN











