Bank Islam peruntuk RM2.2 juta untuk Imarah Ramadan 2026 

Bank Islam peruntuk RM2.2 juta untuk Imarah Ramadan 2026 

JOM Cari Lailatul Qadar, orang ramai dapat bersedekah dengan mudah sepanjang Ramadan ini menerusi aplikasi BIMB Mobile.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bank Islam (Bank Islam) memperuntukkan lebih RM2.2 juta bagi aktiviti dan inisiatif mengimarahkan Ramadan dengan menggabungkan teknologi, kebajikan dan nilai ihsan bagi memastikan keberkatan bulan mulia ini dirasai lebih ramai penerima di seluruh negara.

Menerusi inisiatif istimewa, Jom Cari Lailatul Qadar, orang ramai dapat bersedekah dengan mudah sepanjang Ramadan ini menerusi aplikasi BIMB Mobile.

Kempen ini diadakan sehingga 20 Mac 2026 membolehkan pelanggan beramal secara konsisten melalui penetepan amaun untuk disumbangkan secara berjadual kepada organisasi pilihan yang tersenarai termasuk Sadaqa House, masjid, rumah kebajikan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). 

Pelanggan boleh menetapkan sedekah tersebut dibuat secara harian atau pada 10 hari terakhir Ramadan.

Pegawai Bertanggungjawab dan Pegawai Perniagaan Kumpulan Bank Islam Perbankan Runcit, Mizan Masram berkata, kempen Jom Cari Lailatul Qadar dianjurkan sebagai salah satu cara membolehkan orang ramai beramal dan bersedekah kepada badan-badan pilihan dengan mudah, lancar dan selamat, terutamanya di bulan Ramadan.

“Memasuki edisi ketiga, kempen ini menerima sambutan yang amat memberangsangkan. Pada 2025, Jom Cari Lailatul Qadar berjaya menyalurkan lebih RM2 juta untuk kebajikan penerima manfaat, satu peningkatan ketara berbanding sekitar RM161,000 pada tahun sebelumnya.

Kenaikan ini jelas mencerminkan kesedaran, keprihatinan dan semangat memberi dalam kalangan masyarakat.

“Selaras aspirasi transformasi digital Bank Islam, kami komited untuk menyediakan platform beramal yang lebih mudah, selamat dan efisien, membolehkan pelanggan berkongsi rezeki

mereka secara langsung kepada penerima yang memerlukan, khasnya dalam bulan yang penuh keberkatan ini. Kami percaya setiap sumbangan yang disalurkan bukan sahaja

meringankan beban penerima tetapi juga menyemarakkan nilai ihsan sesama insan,” katanya dalam kenyataan. 

Bersempena Ramadan ini, Bank Islam melalui aplikasi BIMB Mobile turut menyokong pertumbuhan ekonomi setempat dengan menaja empat bazar Ramadan utama yang

melibatkan lebih 800 peniaga, termasuk Bazar Ramadan Santai Bandar Tasik Puteri (BTP), Rawang, Selangor, yang diiktiraf sebagai Bazar Terpanjang di Malaysia 2026, melalui

kerjasama Majlis Perbandaran Selayang dan Kumpulan Low Yat. 

Selain itu, Bank Islam turut menaja Festival Ramadan Putrajaya bersama Perbadanan Putrajaya, Bazar Ramadan Sibu, Sarawak dan Bazar Ramadan Ipoh bersama Majlis Perbandaran Ipoh, Perak.

“Tajaan ini bukan sahaja bertujuan untuk menghidupkan suasana kemeriahan Ramadan, malah memudahkan urus niaga antara pelanggan dan peniaga dengan menggalakkan

penggunaan aplikasi BIMB Biz dan kemudahan Payment to Voice yang membenarkan notifikasi suara pembayaran dibuat secara tanpa tunai pada waktu sebenar pada peranti sedia

ada peniaga.

“Lebih utama, bagi peniaga yang menggunakan aplikasi BIMB Biz, ia akan memudahkan urusan perbankan perniagaan mereka seperti kutipan pembayaran pelanggan melalui QR

DuitNow, pengurusan akaun dan semakan rekod transaksi secara telus, teratur dan cekap. Data transaksi yang dicatat juga membantu peniaga membina sejarah kredit yang kukuh,

membuka lebih banyak peluang kepada akses perbankan pada masa depan,” jelasnya. 

Meneruskan tradisi berkongsi rezeki pada setiap Ramadan, Bank Islam terus melaksanakan tanggungjawabnya sebagai warga korporat yang prihatin dengan penganjuran program

komuniti berskala besar yang merangkumi bantuan makanan, aktiviti keagamaan dan sokongan sosial.

Antaranya, Ramadan Fest @ SWADD, yang bertujuan menyediakan sajian berbuka puasa secara percuma kepada warga kota dan komuniti sekitarnya. 

Memasuki tahun ke-12 penganjuran, Bank Islam bersama Surau Wakaf Ahmad Dawjee Dadaboy (SWADD) menyediakan khemah-khemah khas yang menyediakan juadah berbuka puasa pada setiap hari bekerja, memberi manfaat kepada lebih 500 warga kota termasuk jemaah, pekerja dan penduduk setempat.

Selain memenuhi keperluan harian mereka, inisiatif ini turut memperkukuh pengisian rohani menerusi program berterusan seperti Kuliah Zohor harian, solat Tarawih, Qiamullail Perdana

serta Kutipan Zakat Fitrah. 

Bagi memenuhi keperluan pelanggan sempena persiapan Aidilfitri, Bank Islam akan menyediakan perkhidmatan penukaran duit Raya dengan fit notes mulai minggu kedua

Ramadan, dari pukul 9.30 pagi sehingga 1.00 petang di semua cawangan Semenanjung Malaysia dan 9.00 pagi sehingga 12.30 tengah hari di Malaysia Timur.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN