Verdant Solar catat hasil RM30.71 juta

Verdant Solar catat hasil RM30.71 juta, PBT RM1.26 juta bagi separuh pertama

VERDANT Solar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Verdant Solar Holdings Berhad mencatatkan hasil sebanyak RM30.71 juta dengan keuntungan sebelum cukai (PBT) berjumlah RM1.26 juta bagi separuh pertama tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.

Kumpulan berkata, prestasi berkenaan mengambil kira pelarasan perbelanjaan penyenaraian tidak berulang sebanyak RM2.47 juta yang direkodkan pada suku semasa.

“Bagi suku kedua tahun kewangan 2026 sahaja, syarikat merekodkan hasil RM6.77 juta.

“Secara pelarasan, kerugian sebelum cukai berjumlah RM2.98 juta dicatatkan, terutamanya disebabkan kos penyenaraian sekali sahaja tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Pengarah Urusan, Lim Tzer Haur berkata, prestasi suku semasa mencerminkan tempoh peralihan industri susulan tamatnya dasar Net Energy Metering (NEM) pada Jun 2025 serta ketiadaan rangka kerja insentif interim sebelum pelaksanaan Solar Accelerated Transition Action Programme (Solar ATAP) pada Januari 2026.

Katanya, keadaan itu menyebabkan pasaran mengambil pendekatan lebih berhati-hati, sekali gus memperlahankan pelaksanaan projek dan pengiktirafan hasil dalam tempoh berkenaan.

“Dengan pelaksanaan Solar ATAP, kami melihat hala tuju pemulihan yang lebih jelas serta potensi penukaran saluran projek kepada hasil pada tempoh akan datang.

“Rangka kerja baharu ini menyediakan mekanisme tanpa kuota yang memudahkan penggunaan solar bumbung secara lebih meluas dalam segmen kediaman dan komersial,” katanya.

Syarikat telah disenaraikan di Pasaran ACE, Bursa Malaysia Securities Berhad pada 22 Oktober 2025, justeru tiada angka perbandingan bagi suku sama tahun sebelumnya.

Sehingga Disember 2025, buku tempahan kumpulan kekal kukuh pada RM38 juta, meningkat lebih 40 peratus berbanding RM27 juta pada September 2025, mencerminkan aliran projek yang berterusan dalam segmen pemasangan solar bumbung kediaman dan komersial.

Pada masa sama, kedudukan kewangan kekal sihat dengan tunai berjumlah RM54 juta serta jumlah pinjaman dan pembiayaan kurang daripada RM1 juta.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kumpulan juga giat meluaskan liputan perkhidmatan di kawasan pertumbuhan utama di Semenanjung Malaysia, di samping menilai kerjasama strategik dan kolaborasi projek yang menambah nilai kepada keupayaan kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC).

“Dalam pada itu, pengurusan turut mengekalkan pendekatan berdisiplin dalam pengurusan modal dan kecairan termasuk kawalan perolehan inventori bagi mengurangkan kesan turun naik harga komoditi global, khususnya perak, bagi melindungi margin operasi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN