PETALING JAYA: Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyifatkan pemecatan Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai pengajaran penting kepada seluruh anggota parti.
Ketua Penerangannya, Harris Idaham Rashid berkata, perkara itu wajar dijadikan peringatan agar semua pimpinan dan ahli terus menjaga adab, disiplin serta mematuhi garis panduan yang ditetapkan parti.
Katanya, sebarang tindakan yang boleh menjejaskan kestabilan organisasi perlu dielakkan kerana ia boleh memberi kesan kepada kekuatan parti dalam mendepani cabaran politik semasa.
“Semua kepimpinan dan ahli Bersatu khususnya Armada wajib mengambil iktibar daripada peristiwa ini dengan memelihara disiplin, tatakelakuan, dan tertib sebagai ahli parti.
“Sebarang usaha menggugat kestabilan parti jelas merupakan satu pengkhianatan terhadap wadah perjuangan ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau turut menegaskan Armada akan kekal berdiri bersama kepimpinan parti dalam usaha memperkukuh kesatuan dalaman serta memastikan kesiapsiagaan menghadapi pilihan raya akan datang.
“Armada kekal teguh bersama kepimpinan dalam usaha pengukuhan dan pemantapan parti bagi menjana kemenangan dalam pilihan raya akan datang,” katanya. – UTUSAN










