SEREMBAN: Restoran makanan Jepun, Ding Sushi mencatatkan peningkatan jualan sehingga dua kali ganda selepas memperoleh pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada Februari 2025, sekali gus membuktikan kepentingan pensijilan tersebut dalam memperluaskan pasaran perniagaan makanan di Malaysia.
Eksekutif Halal Honor Food Sdn. Bhd., Nur Rabiatul Ramdah berkata, restoran yang beroperasi pada Oktober 2024 itu telah membuat permohonan sijil halal pada hujung November 2024, hanya sebulan selepas restoran itu dibuka.
“Sejak mendapat sijil halal, jualan meningkat dengan ketara. Jika sebelum ini jualan harian hanya dalam ratusan ringgit dan tidak mencecah RM1,000, kini jualan boleh mencapai sehingga RM4,000 sehari. Pensijilan halal bukan sahaja meningkatkan prestasi kewangan, malah berjaya menarik lebih ramai pelanggan Islam yang sebelum ini agak terhad.
“Selepas mendapat sijil halal, pelanggan Islam semakin ramai. Hampir setiap hari ada pelanggan Islam dan yang datang dan mereka lebih yakin dengan adanya pengesahan halal,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Terletak di Uptown Avenue, Seremban 2, Ding Sushi kini beroperasi dengan sebuah cawangan tunggal dan mempunyai sembilan orang kakitangan.
Menurut Nur Rabiatul, pensijilan halal amat penting terutamanya bagi restoran makanan Jepun seperti sushi yang sering dikaitkan dengan penggunaan sushi vinegar dan mirin, yang diragui status halalnya.
“Dengan adanya sijil halal ini, kami dapat menjamin semua bahan mentah termasuk sushi vinegar diperoleh daripada pembekal halal. Ini memberi jaminan dari segi kebersihan, keselamatan dan pematuhan syariah,” katanya.
Ding Sushi beroperasi dari jam 11.30 pagi hingga 9.30 malam itu dengan konsep bufet selama satu jam 20 minit pada harga RM39 termasuk cukai perkhidmatan.
Antara menu tarikan utama ialah tempura, teppanyaki, sushi serta hot pot, dengan kelebihan tiada had pengambilan sepanjang tempoh makan serta minuman dan sup juga boleh ditambah tanpa bayaran tambahan.
Nur Rabiatul berkata, maklum balas pelanggan sangat positif dan harga yang ditawarkan lebih murah berbanding restoran lain dengan pilihan menu yang pelbagai.
Beliau berkata, pihaknya turut menggalakkan peniaga lain, sama ada Islam atau bukan Islam untuk mendapatkan sijil halal kerana ia bukan sahaja menjamin kualiti makanan, malah meningkatkan kredibiliti dan potensi pertumbuhan perniagaan.
Buat masa ini, Ding Sushi tidak merancang untuk membuka cawangan baharu kerana masih memberi tumpuan kepada pengukuhan operasi sedia ada.
“Kami masih baharu. Buat masa ini fokus kami adalah memastikan kualiti perkhidmatan dan makanan kekal konsisten,” katanya. – UTUSAN










