SETIA Awan Group melancarkan Sena Residences, pembangunan berorientasikan transit (TOD) terbaharu di Seksyen 14, Shah Alam yang menyasarkan golongan profesional muda, pembeli rumah pertama serta keluarga pelbagai generasi dengan penawaran kediaman fleksibel dan harga mampu milik bandar.
Projek berstatus pegangan pajakan yang dilaksanakan menerusi anak syarikatnya, Starhill Century Sdn. Bhd., itu dibangunkan dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM845 juta dan dibina di atas tanah seluas 1.65 hektar.
Sena Residences merangkumi empat menara setinggi 32 tingkat yang menawarkan sebanyak 2,042 unit apartmen servis dengan sasaran siap pada tahun 2030.
Pada majlis pelancaran di Shah Alam Convention Centre, pemaju memaklumkan Menara B yang dibuka semasa pelancaran telah mencapai kadar tempahan 100 peratus.
Susulan sambutan tersebut, Setia Awan Group kini membuka jualan bagi Menara D kepada pembeli.
Ketua Pegawai Operasi Projek Setia Awan Group, Eric Chew berkata, projek itu dibangunkan bagi memenuhi keperluan pembeli masa kini yang mahukan kediaman dengan susun atur praktikal, fleksibel serta mempunyai ketersambungan pengangkutan awam yang baik.
“Pembeli rumah masa kini mahukan ruang yang boleh memenuhi pelbagai keperluan harian dan gaya hidup mereka. Dengan Sena Residences, kami memberi tumpuan kepada pelan lantai yang boleh diubah suai secara terhad, bahan bermutu dan fasiliti gaya hidup yang menyokong rutin penduduk bandar.
“Digabungkan dengan ketersambungan yang kukuh, ia menawarkan satu tahap baharu kehidupan moden dan selesa di Shah Alam,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Terletak kira-kira 30 meter dari Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Datuk Menteri, pembangunan itu menyediakan akses terus kepada rangkaianTransit Aliran Ringan Laluan 3 (LRT3) serta sambungan ke Laluan Kelana Jaya dan Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Kajang.
Ini sekali gus memudahkan pergerakan ke lokasi utama seperti Pusat Bandar Kuala Lumpur (KLCC), Tun Razak Exchange (TRX), Bukit Bintang dan Stesen Sentral Kuala Lumpur.
Selain itu, projek berkenaan turut dihubungkan dengan sembilan lebuh raya utama termasuk Lebuhraya Persekutuan, Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Lebuhraya Utara–Selatan Hubungan Tengah (ELITE) dan Guthrie Corridor Expressway (GCE).
Sena Residences menawarkan lima pilihan pelan lantai berkeluasan antara 280 hingga 936 kaki persegi melibatkan konfigurasi satu hingga empat bilik tidur, termasuk pilihan unit dwi kunci serta dinding fleksibel untuk pengubahsuaian ruang.
Harga ditawarkan bermula RM230,000 hingga RM750,000 seunit dengan sehingga tiga petak parkir bagi susun atur terpilih.
Dari segi kemudahan, pembangunan itu menyediakan lebih 40 fasiliti termasuk kemudahan atas bumbung pertama di Seksyen 14 seperti gimnasium langit, teater mini, jakuzi, dek tinjau, ruang santai dan kawasan barbeku.
Kemudahan podium berkonsepkan resort pula merangkumi kolam renang 50 meter, kolam kanak-kanak, taman permainan, bilik permainan, taman komuniti, kawasan hijau terbuka dan dek kolam.
Projek ini turut menekankan elemen persekitaran dengan kedudukan berhampiran 42.90 hektar kawasan hijau termasuk Taman Tasik Shah Alam serta Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di samping integrasi landskap dan laluan pejalan kaki dalam kawasan pembangunan. – UTUSAN










