Ringgit kukuh sokong eksport dan permintaan domestik - Utusan Malaysia

Ringgit kukuh sokong eksport dan permintaan domestik

DONG He (tengah) bersama Kian Heng Peh ketika Taklimat Akhbar AMRO: Kesimpulan Lawatan Perundingan Tahunan 2026 ke Malaysia di sini, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengukuhan ringgit bersama pelaksanaan pembaharuan fiskal dijangka terus menyokong pertumbuhan ekonomi negara melalui kos import yang lebih rendah, peningkatan penggunaan domestik serta aliran pelaburan langsung asing (FDI) yang berterusan. 

Menurut Ketua Ekonomi Pejabat Penyelidikan Makroekonomi ASEAN+3 (AMRO), Dong He berkata, rantau ini masih mencatat aliran FDI yang kukuh, sekali gus memberi sokongan berterusan kepada ekonomi Malaysia, khususnya dalam sektor berorientasikan teknologi dan pembuatan.

Katanya, pelaburan yang berterusan akan menyumbang kepada pertumbuhan produktiviti dalam jangka panjang. 

“Ringgit yang lebih kukuh membantu mengurangkan kos import, sekali gus menjadi faktor positif kepada penggunaan domestik dan keupayaan industri tempatan memenuhi permintaan eksport, termasuk dari Amerika Syarikat (AS). 

“Dalam fasa kitaran pertumbuhan yang baik ini, langkah sokongan dasar perlu diteruskan, namun pada masa sama, risiko kewangan akibat pengumpulan hutang perlu diurus dengan berhati-hati,” katanya semasa Taklimat Akhbar AMRO: Kesimpulan Lawatan Perundingan Tahunan 2026 ke Malaysia di sini, semalam.

Dalam pada itu, AMRO mengunjurkan pertumbuhan ekonomi Malaysia kekal kukuh pada 2026, namun menyederhana sedikit kepada 4.6 peratus berbanding anggaran 4.9 peratus pada 2025.

Mengulas lanjut mengenai keupayaan domestik, Dong He berkata, Malaysia perlu terus memperkukuh sektor strategik dan meningkatkan kemahiran tenaga kerja bagi mengekalkan daya saing dalam kitaran pelaburan global semasa.

“Dalam era kecerdasan buatan (AI) dan peningkatan kawalan teknologi serta tarif global, keutamaan dasar harus diberikan kepada peningkatan produktiviti dan nilai tambah domestik supaya negara mampu mengekalkan aliran pelaburan dan daya saing eksport. 

“Dalam pada itu, terdapat juga risiko daripada peningkatan tarif dan kawalan teknologi global boleh memberi kesan kepada eksport dan aliran pelaburan dalam jangka pendek, justeru kepelbagaian pasaran dan pengukuhan integrasi serantau perlu terus diperkukuh,” katanya. 

Sementara itu, Ketua Ekonomi dan Ketua Misi AMRO, Kian Heng Peh berkata, defisit fiskal negara dijangka terus mengecil sejajar dengan kemajuan pembaharuan fiskal yang sedang dilaksanakan kerajaan.

Beliau berkata, eksport Malaysia kekal pelbagai dengan sektor utama seperti elektrik dan elektronik (E&E) serta petrokimia terus menjadi pemacu utama perdagangan luar.

“Ringgit yang lebih kukuh membantu mengurangkan kos import bagi industri ini, sekali gus mengimbangi tekanan terhadap harga eksport.

“Malaysia sejak sekian lama menarik aliran masuk FDI yang kukuh. Kita juga menyaksikan eksport yang sangat kuat, sebahagiannya disokong oleh aktiviti pelaburan yang rancak dalam ekonomi,” katanya.

Tambah beliau, kitaran peningkatan teknologi global yang lebih kukuh memberi peluang besar kepada Malaysia untuk memanfaatkan pelaburan dalam sektor bernilai tinggi.

“Dasar monetari pula dijangka kekal menyokong pertumbuhan dengan mengekalkan pendirian yang kondusif bagi memastikan pengembangan kredit domestik yang mampan serta menyokong aktiviti ekonomi,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN