PETALING JAYA: Proton Holdings Bhd. melancarkan model hibrid plug-in (PHEV) pertamanya, Proton e.MAS 7 PHEV pada harga bermula RM109,800.
Pelancaran model ini akan memperkukuhkan strategi jenama nasional itu dalam memperluaskan penawaran kenderaan tenaga baharu (NEV) di pasaran tempatan.
Kenderaan utiliti sukan (SUV) itu ditawarkan dalam tiga varian iaitu Prime bermula RM109,800, Premium (RM123,800) dan Premium Plus (RM129,800), dengan perbezaan utama melibatkan kapasiti bateri, jarak pemanduan elektrik serta keupayaan pengecasan.
Bersempena pelancaran, Proton menawarkan rebat RM4,000 kepada 5,000 pelanggan terawal, menjadikan harga varian Prime kepada RM105,800, Premium (RM119,800) dan Premium Plus (RM125,800).
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pengenalan model PHEV pertama di bawah jenama Malaysia adalah langkah strategik dan praktikal bagi menyokong peralihan pengguna ke arah elektrifikasi tanpa mengabaikan keperluan trenkuasa konvensional.
“Peningkatan penggunaan kenderaan cekap tenaga termasuk PHEV selari dengan komitmen kerajaan untuk mengurangkan pelepasan karbon serta membina masa depan automotif yang lebih hijau dan mampan,” katanya dalam ucapan perasmian di sini, semalam.
Dalam pada itu, varian Prime dan Premium dilengkapi bateri lithium iron phosphate (LFP) berkapasiti 18.4 kilowatt jam (kWh) yang membolehkan jarak pemanduan elektrik sehingga 105 kilometer mengikut piawaian NEDC.
Varian Premium Plus pula menggunakan bateri lebih besar berkapasiti 29.8 kWh dengan jarak pemanduan elektrik sehingga 170 kilometer.
Gabungan enjin petrol 1.5 liter naturally aspirated bersama motor elektrik menghasilkan output maksimum 193 kilowatt dan tork 262 Newton meter, disalurkan melalui sistem Dedicated Hybrid Transmission (DHT) bagi meningkatkan kecekapan bahan api serta kelancaran pemanduan.
Secara keseluruhan, model itu mampu mencapai jarak pemanduan sehingga 1,000 kilometer, manakala varian Premium Plus boleh mencecah sehingga 1,065 kilometer.
Dari aspek reka bentuk, e.MAS 7 PHEV menampilkan gaya SUV moden dengan pilihan warna termasuk Obsidian Black, Lithium White, Mercury Silver, Galena Grey dan Aquamarine Blue.
Ciri keselamatan turut dipertingkatkan menerusi sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) tahap dua merangkumi brek kecemasan automatik, kawalan jelajah adaptif dan bantuan kekal lorong.
Tambah Johari, kejayaan semasa Proton adalah daripada kerjasama strategik dengan DRB-HICOM Bhd. dan Geely Holding yang dimeterai pada Mei 2017.
“Pengambilalihan 49.9 peratus kepentingan Proton oleh Geely pada ketika itu dilakukan dalam keadaan mencabar, namun terbukti menjadi titik perubahan penting bagi jenama kereta nasional,” tambahnya.
Beliau berkata, sembilan tahun selepas kerjasama strategik itu, Proton berjaya membalikkan kerugian kewangan berpanjangan, memulihkan keyakinan pengguna melalui pengenalan model popular termasuk Proton X70 dan meningkatkan pegangan pasaran daripada 11 peratus pada 2018 kepada 19 peratus tahun lalu.
“Proton kini mengekalkan kehadiran kukuh dalam sektor automotif negara dengan menggajikan lebih 55,000 tenaga kerja, disokong rangkaian vendor tempatan yang luas merentasi rantaian bekalan industri. Tahap lokalisasi juga meningkat daripada 53 peratus pada 2021 kepada 67 peratus pada 2025,” katanya. – UTUSAN










