PETALING JAYA: Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) melancarkan Kempen Ramadan bagi tahun 1447H/2026M untuk menggalakkan umat Islam menyempurnakan kewajipan berzakat, di samping mempromosi perkhidmatan, saluran bayaran serta program menarik sepanjang Ramadan.
Bertemakan ‘Ikhlas Memberi, Tulus Membantu’, kempen ini bertujuan menanam nilai memberi dengan penuh keikhlasan, agar setiap sumbangan dapat memberikan manfaat berpanjangan khususnya kepada golongan asnaf.
Majlis pelancaran disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Datuk Abdul Hakim Amir Osman di Restoran Chef Kecik Boulangeries, Bukit Bintang, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Turut hadir adalah rakan strategik serta rakan kolaborasi kempen yang akan bersama-sama menyokong pelaksanaan aktiviti serta program sepanjang Ramadan.
PPZ-MAIWP berkata, keistimewaan Kempen Ramadan pada kali ini adalah PPZ-MAIWP membawakan Ikhlas.Com & Friends yang terdiri daripada Nunha, Airali, Petit Moi, BMO, Zora Designer dan Maison Toha sebagai rakan strategik utama kempen.
“Ikhlas.com merupakan salah satu daripada ejen kutipan zakat PPZ-MAIWP dan menerusi kolaborasi ini, pembayar zakat harta PPZ-MAIWP berpeluang memperoleh baucar diskaun eksklusif yang boleh digunakan untuk pembelian barangan pilihan mereka.
“Selain itu, kempen ini turut disokong oleh rakan kolaborasi lain iaitu Iman Pro, Beauboss, Khatam dan Chef Kecik yang mana setiap daripadanya bakal menawarkan hadiah dan tawaran menarik khusus buat pembayar zakat PPZ-MAIWP,” katanya dalam kenyataan. – UTUSAN










