PETALING JAYA: Petroliam Nasional Berhad (Petronas) terus memperkukuh jaminan bekalan tenaga Malaysia menerusi pemeteraian perjanjian jual beli (SPA) gas asli cecair (LNG) jangka panjang bersama syarikat tenaga global, QatarEnergy.
Perjanjian bersejarah selama 20 tahun itu dimeterai menerusi anak syarikat Petronas, Petronas LNG Ltd. (PLL), yang menyaksikan syarikat minyak negara bakal memperoleh bekalan sehingga dua juta tan setahun (MTPA) LNG daripada QatarEnergy.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata, perjanjian tersebut sebagai satu pencapaian penting dalam usaha syarikat memastikan kestabilan bekalan tenaga demi memenuhi permintaan domestik yang kian meningkat.
Menurut beliau, kerjasama strategik dengan pemain industri terkemuka seperti QatarEnergy adalah pelengkap kepada sumber sedia ada Petronas.
“Perjanjian ini menandakan satu peristiwa penting bagi Petronas dalam mengukuhkan keselamatan tenaga untuk pelanggan kami.
“Bekalan LNG melalui perkongsian ini melengkapkan kargo dari pusat operasi utama LNG kami di Malaysia dan Kanada, sekali gus mempelbagaikan sumber bekalan kami tatkala Petronas membuka peluang baharu untuk meraih nilai dan kecekapan yang lebih tinggi,” katanya dalam suatu kenyataan.
Tambahnya, kerjasama ini bukan sahaja meningkatkan daya tahan portfolio Petronas di tengah-tengah landskap tenaga global yang mencabar, malah ia selari dengan keutamaan pembangunan ekonomi negara dan agenda peralihan tenaga.
“Ia mencerminkan komitmen jitu kedua-dua belah pihak untuk memperdalam kerjasama merentasi rantaian nilai LNG ke arah mewujudkan portfolio gas yang mampan dan bersedia untuk masa hadapan,” katanya.
Majlis menandatangani perjanjian tersebut telah diadakan di Doha, Qatar bersempena Persidangan & Pameran Antarabangsa mengenai Gas Asli Cecair ke-21 (LNG2026).
Turut hadir menyempurnakan majlis tersebut ialah Menteri Negara bagi Hal Ehwal Tenaga Qatar merangkap Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif QatarEnergy, Saad Sherida Al-Kaabi.
Perjanjian pembekalan jangka panjang ini dijangka menjadi tunjang kepada kestabilan sektor tenaga negara untuk memastikan Malaysia mempunyai akses yang boleh dipercayai terhadap sumber tenaga bersih, sekali gus memacu pertumbuhan industri dan ekonomi dalam tempoh dua dekad akan datang. – UTUSAN










