PETALING JAYA: Perubahan dasar tarif Amerika Syarikat (AS) kepada kadar global maksimum 15 peratus dijangka tidak mencetuskan perubahan strategik besar dalam keputusan pelaburan atau rantaian bekalan syarikat di Malaysia, kata penganalisis.
Pengarah Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn. Bhd., Mohd Sedek Jantan berkata, ini kerana tarif di bawah Seksyen 122 dilihat sebagai langkah sementara dan bersifat taktikal serta bukannya isyarat dasar jangka panjang.
Katanya, kesan utama lebih kepada pelarasan operasi jangka pendek seperti harga, margin, jadual penghantaran dan pengurusan inventori.
“Dari sudut strategik, aliran pelaburan langsung asing (FDI) dan peralihan rantaian bekalan (China+1) masih dipacu oleh faktor asas seperti kestabilan dasar domestik, ekosistem industri, dan kebolehpercayaan operasi.
“Jadi, Malaysia kekal kompetitif, khususnya dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) dan semikonduktor,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sabtu lalu, Presiden AS, Donald Trump mengumumkan kenaikan tarif global kepada 15 peratus daripada 10 peratus susulan keputusan Mahkamah Agung AS yang membatalkan kebanyakan langkah perdagangan diperkenalkannya sebelum ini.
Trump berkata, kenaikan di bawah Seksyen 122 itu berkuat kuasa serta-merta dan merupakan tambahan kepada tarif sedia ada.
Mohd Sedek berkata, tarif timbal balik 19 peratus yang dikenakan ke atas Malaysia sebelum ini telah diketepikan susulan keputusan Mahkamah Agung AS dan kini digantikan dengan tarif di bawah Seksyen 122 yang bersifat sementara dan global, dengan kadar maksimum 15 peratus.
“Jika dibandingkan secara langsung, peralihan daripada 19 peratus kepada 15 peratus adalah relatif lebih baik untuk Malaysia, kerana kadar tarifnya lebih rendah dan dikenakan secara menyeluruh kepada semua negara, bukannya bersifat khusus negara.
“Namun, ini bukan manfaat mutlak, sebaliknya pengurangan risiko relatif berbanding rangka tarif sebelumnya. Oleh itu, kesannya kepada Malaysia adalah terhad dan bersifat sementara, bukan perubahan struktur kepada akses pasaran,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berpendapat keputusan Mahkamah Agung AS untuk menghalang dasar import tarif yang dilaksanakan oleh Trump menunjukkan bahawa badan kehakiman masih berfungsi dan mampu untuk menghalang dasar yang boleh membawa kesan negatif kepada ekonomi mereka.
“Sebagai contoh, kadar inflasi masih lagi tinggi iaitu 2.9 peratus pada Disember 2025 disebabkan kadar tarif yang tinggi telah menyebabkan barangan yang diimport menjadi mahal.
“Dasar tarif import sebenarnya memberi kesan negatif kepada ekonomi AS dan juga global. Oleh itu, tindakan badan kehakiman untuk menghalang dasar ini adalah sesuatu yang positif,” katanya.
Tambah beliau, situasi semasa ini telah membuka ruang kepada Malaysia untuk terus berunding bagi mencapai suatu keputusan yang lebih baik dan menang menang.
“Pendirian negara kita sememangnya memilih untuk menyelesaikan perkara secara diplomasi. Saya percaya dengan kebijaksanaan pimpinan di Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), suatu keputusan yang baik akan dapat dicapai.
“Selain itu, usaha untuk mempelbagaikan pasaran juga akan diteruskan bagi memastikan negara Malaysia akan dapat terus berdagang dengan lebih meluas yang sekali gus membuka peluang kepada pengusaha perniagaan di Malaysia,” jelasnya.
Sementara itu, MBSB Investment Bank Berhad berkata, pengurangan tarif global AS kepada 15 peratus daripada kadar timbal balik yang sebelum ini sekitar 19 peratus dijangka sedikit sebanyak mengurangkan tekanan terhadap daya saing eksport Malaysia.
Kataya, langkah tersebut berpotensi meredakan kesan negatif terhadap permintaan akhir di AS bagi barangan Malaysia, walaupun ia masih mencerminkan persekitaran perdagangan global yang semakin ketat dan berisiko menekan permintaan luar pada jangka sederhana.
“Malaysia boleh memperoleh manfaat jangka pendek daripada kadar tarif yang lebih rendah. Namun, dasar perdagangan AS dijangka beralih kepada pendekatan lebih bersasar apabila ruang untuk pelaksanaan tarif menyeluruh menjadi terhad.
“Secara sejarah, AS menggunakan instrumen seperti Seksyen 232 berkaitan keselamatan negara dan Seksyen 301 berkaitan amalan perdagangan tidak adil untuk mengenakan duti ke atas industri strategik.
“Perkembangan ini menimbulkan kebimbangan bahawa sektor seperti semikonduktor, elektronik maju, teknologi hijau dan mineral kritikal boleh menjadi sasaran baharu,” jelasnya.
Tambahnya, Malaysia dilihat terdedah kepada langkah sedemikian memandangkan kedudukan pentingnya dalam rantaian bekalan global semikonduktor serta kebergantungan eksport negara kepada sektor E&E. – UTUSAN










