Perdagangan Malaysia catat rekod tertinggi dalam 36 tahun

Perdagangan Malaysia catat rekod tertinggi dalam 36 tahun

PERDAGANGAN Malaysia pada Januari mencatatkan paras tertinggi yang pernah direkodkan dalam tempoh 36 tahun sejak 1990. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Prestasi perdagangan Malaysia terus kukuh dengan jumlah perdagangan, eksport, import serta lebihan dagangan pada Januari mencatatkan paras tertinggi yang pernah direkodkan dalam tempoh 36 tahun sejak 1990.

Jumlah perdagangan meningkat 12.6 peratus kepada RM272.37 bilion berbanding Januari tahun lalu, manakala eksport berkembang 19.6 peratus kepada RM146.87 bilion, sekali gus mengekalkan pertumbuhan positif selama tujuh bulan berturut turut sejak Julai 2025.

Import pula meningkat 5.3 peratus kepada RM125.5 bilion. 

Prestasi eksport yang lebih tinggi berbanding import menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM21.37 bilion, melonjak 483.9 peratus berbanding Januari 2025.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Abu Bakar Yusof berkata, pencapaian tersebut membuktikan daya tahan serta daya saing pengeksport tempatan dalam persekitaran global yang mencabar.

“Lonjakan eksport barangan elektrik dan elektronik (E&E), khususnya komponen litar bersepadu elektronik, meletakkan Malaysia pada kedudukan strategik untuk memanfaatkan unjuran pertumbuhan pasaran semikonduktor global yang dijangka berkembang 26.3 peratus tahun ini.

“Selain itu, barangan pertumbuhan dan nilai tinggi seperti barangan optik dan saintifik, kelengkapan pengangkutan termasuk aeroangkasa serta barangan makanan turut mencatat peningkatan kukuh, selari aspirasi Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan hala tuju Rancangan Malaysia Ke 13,” katanya dalam kenyataan.

Dari segi komposisi eksport, sektor E&E kekal sebagai penyumbang terbesar dengan syer 48 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport, melonjak 39.5 peratus kepada RM70.53 bilion, didorong peningkatan permintaan global terhadap semikonduktor serta perkembangan pesat aplikasi kecerdasan buatan.

Barangan optik dan saintifik pula meningkat 36.2 peratus, diikuti barangan makanan diproses sebanyak 16.5 peratus, kelengkapan pengangkutan 13.8 peratus serta jentera, kelengkapan dan peralatan sebanyak 13 peratus.

Dari segi destinasi, eksport ke hampir semua pasaran utama mencatat pertumbuhan dua digit kecuali ASEAN. 

Eksport ke Amerika Syarikat melonjak 33.9 peratus kepada RM23.1 bilion, merupakan nilai tertinggi pernah direkodkan bagi bulan Januari, manakala eksport ke China meningkat 16.1 peratus kepada RM15.47 bilion.

Eksport ke Taiwan turut melonjak 79.4 peratus kepada RM9.93 bilion, iaitu paras bulanan tertinggi pernah dicatatkan, manakala eksport ke ASEAN meningkat 7.1 peratus kepada RM39.42 bilion, disokong pertumbuhan ke tujuh negara anggota blok itu.

Sementara itu, eksport ke rakan dagang di bawah Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) meningkat 14.5 peratus kepada RM95.22 bilion, menyumbang 64.8 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport negara.

Antara pasaran yang mencatat peningkatan ketara ialah Mexico sebanyak 122.1 peratus kepada RM3.03 bilion, Hong Kong 58 peratus, India 35.7 peratus, United Kingdom 35.3 peratus, Republik Korea 27.6 peratus dan New Zealand 2.6 peratus.

Mengulas lanjut, Abu Bakar berkata, bagi memastikan momentum pertumbuhan kekal mampan, Matrade merangka 203 program berimpak tinggi sepanjang 2026 merangkumi misi perdagangan, sesi padanan perniagaan antarabangsa serta inisiatif pembangunan kapasiti.

“Inisiatif strategik ini disasarkan memperkasa lebih 13,400 syarikat Malaysia khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana untuk menembusi serta memperluas pasaran global.

“Kami juga akan terus menggalakkan pengeksport memanfaatkan 17 FTA sedia ada bagi memperkukuh akses pasaran dan meningkatkan daya saing,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN