PETALING JAYA: Penggunaan kaedah pembayaran masa nyata atau real-time payments (RTP) di Malaysia kini mencapai tahap hampir menyeluruh apabila 96 peratus kedai menerima kaedah tersebut.
Namun, isu keselamatan dan cabaran operasi masih menjadi kebimbangan utama perniagaan serta pengguna.
Menurut laporan terbaharu Visa bertajuk Strengthening Southeast Asia’s Real-time Payments: Security, Trust and New Pathways to Financial Access, RTP kini merangkumi 27 peratus daripada keseluruhan transaksi pelanggan di negara ini, bersamaan satu daripada setiap empat transaksi.
Bagaimanapun, pembayaran kad termasuk kad kredit, debit dan prabayar masih mendahului dengan pegangan 34 peratus transaksi di kedai.
Visa berkata, walaupun 38 peratus perusahaan kecil dan sederhana (PKS) lebih cenderung menggunakan RTP untuk menerima bayaran, sebanyak 42 peratus pengguna dan lebih satu pertiga PKS menyuarakan kebimbangan terhadap risiko penipuan serta kesilapan pemindahan dana.
“Kajian itu turut mendapati sekurang-kurangnya 35 peratus pengguna bimbang terhadap aspek privasi data dan keselamatan siber, meskipun hampir separuh responden di Asia Tenggara menggunakan RTP untuk perbelanjaan harian seperti pembelian runcit dan bayaran bil sama ada di kedai atau secara dalam talian.
“Di Malaysia, corak penggunaan menunjukkan perbezaan apabila kad debit dan kredit dianggap memberi akses dana yang lebih pantas berbanding RTP, selain dilihat lebih selamat, biasa digunakan dan cekap, dengan jurang lebih 10 mata peratus bagi setiap faktor.
“Bagi transaksi rentas sempadan pula, kurang daripada 15 peratus pengguna memilih RTP untuk bayaran luar negara, susulan kebimbangan terhadap keselamatan dan ciri transaksi yang tidak boleh dibatalkan,” katanya dalam laporan itu.
Sementara itu, Pengurus Negara Visa Malaysia, Previn Pillay berkata, aspek keselamatan perlu diberi keutamaan memandangkan transaksi RTP berlaku dalam beberapa saat dan tidak boleh diterbalikkan.
Katanya, penyelesaian akaun-ke-akaun (A2A) Visa menggunakan analitik tingkah laku adaptif serta risikan risiko dipacu kecerdasan buatan (AI) bagi membantu institusi kewangan dan perniagaan mengesan potensi penipuan secara masa nyata.
“Dalam program perintis di United Kingdom, Visa A2A Protect berjaya mengenal pasti lebih separuh transaksi penipuan RTP yang tidak dikesan sistem sedia ada. Pelaksanaan di Argentina pula mencatat kadar pengesanan penipuan sehingga 73 peratus,” katanya.
Selain aspek keselamatan, kajian itu menunjukkan 68 peratus PKS berdepan masalah operasi berkaitan pembayaran, termasuk kegagalan transaksi, penolakan bayaran dan kesukaran memadankan rekod jualan.
Isu berkaitan pelanggan juga ketara apabila 66 peratus PKS melaporkan kelewatan bayaran serta permintaan terhadap kaedah pembayaran yang tidak disokong.
Malah, kira-kira separuh perniagaan yang tidak menerima kad mengakui kehilangan jualan domestik dan antarabangsa akibat pilihan pembayaran terhad.
Visa menjangkakan keperluan sistem pembayaran yang saling kendali akan menjadi semakin penting, khususnya menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 yang disasar menarik 47 juta pelawat antarabangsa.
Sehubungan itu, Visa akan memperluaskan keupayaan QR Connector, Scan to Pay, Visa Pay dan Visa Accept bagi memudahkan pembayaran rentas sempadan, mempercepat penjelasan transaksi serta mengurangkan kebergantungan kepada terminal pembayaran fizikal. – UTUSAN










