Import EV tertumpu segmen mewah lindungi industri tempatan

Import EV tertumpu segmen mewah lindungi industri tempatan

JOHARI ABDUL GHANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan akan memfokuskan kemasukan kenderaan elektrik (EV) import kepada segmen mewah bagi melindungi ekosistem automotif tempatan serta mengelakkan lambakan kenderaan murah di pasaran domestik.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pengeluar luar yang ingin menembusi pasaran Malaysia perlu menawarkan EV berkelas tinggi, manakala segmen harga rendah dan sederhana akan terus diperkukuh oleh pengeluar tempatan.

“Jika pengeluar luar mahu masuk ke pasaran Malaysia, mereka perlu membawa EV berkelas tinggi. Untuk segmen harga rendah pula, kita sudah mempunyai dua syarikat tempatan yang mampu mengeluarkannya,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Proton e.MAS 7 PHEV, di sini hari ini.

Beliau berkata, pendekatan tersebut penting bagi memastikan pasaran automotif negara tidak menjadi destinasi lambakan kenderaan murah yang boleh menjejaskan kelangsungan serta daya saing industri tempatan.

“Kita tidak mahu negara ini menjadi tempat lambakan. EV yang masuk ke Malaysia perlu berkualiti dan memberi nilai tambah kepada industri, bukan sekadar murah,” katanya.

Sementara itu, Johari berkata, Malaysia mencatatkan paras tertinggi dalam sejarah jumlah volum industri (TIV) pada 2025 iaitu sebanyak 820,752 unit, sekali gus mencerminkan pemulihan domestik yang kukuh dalam tempoh pasca pandemik.

Menurutnya, pencapaian tersebut didorong oleh pengeluaran kenderaan yang konsisten dengan purata melebihi 750,000 unit setahun bagi tempoh antara 2022 hingga 2025.

“Pada masa hadapan, kita mahu melihat lebih banyak pengeluar membangunkan pelan pemasangan tempatan (CKD) serta meningkatkan kandungan tempatan dalam rantaian bekalan.

“Ketika ini, banyak komponen masih diimport dan dalam jangka panjang kita mahu Malaysia menjadi hab untuk mengeksport komponen automotif,” katanya.

Tambah Johari, peningkatan kandungan tempatan perlu seiring dengan skala pengeluaran yang lebih besar bagi menarik pelaburan antarabangsa serta membangunkan ekosistem industri yang mampan.

“Sekarang kita mengeluarkan sekitar 800,000 kenderaan setahun. Namun, jika kita tidak melepasi paras satu juta unit, ia akan menyukarkan peserta global untuk datang dan membina ekosistem automotif di negara ini,” tambahnya. 

Dalam pada itu, beliau berkata, perubahan keutamaan pengguna semakin ketara apabila jualan kenderaan elektrik dan hibrid (xEV) meningkat 52 peratus tahun lalu, walaupun keseluruhan TIV hanya mencatatkan pertumbuhan sederhana sebanyak 0.5 peratus.

Sehubungan itu, xEV kini merangkumi 8.5 peratus daripada jualan kenderaan baharu, manakala kenderaan hibrid dan elektrik menyumbang 8.7 peratus daripada jumlah pendaftaran kereta pada 2025.

Mengulas dakwaan kekurangan sokongan terhadap pembangunan teknologi hibrid berbanding EV, Johari berkata, MITI bersedia mempertimbangkan serta mendengar cadangan daripada pemain industri.

“Kita bersedia mendengar. Mana-mana pihak yang membawa teknologi hibrid, kita terbuka untuk berbincang supaya bersama-sama dapat membina ekosistem automotif yang kukuh. 

“Perkembangan positif pasaran xEV memberi keyakinan bahawa Malaysia berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran nasional 30 peratus pegangan pasaran xEV menjelang 2030,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN