PETALING JAYA: Pelabur asing di Bursa Malaysia kekal sebagai pembeli bersih untuk minggu kelima berturut-turut, dengan aliran masuk bersih berjumlah RM15 juta, hampir menyamai RM12.8 juta yang direkodkan pada minggu sebelumnya.
MBSB Research berkata, aktiviti dagangan adalah terhad berikutan cuti Thaipusam, dengan pasaran hanya dibuka selama empat hari.
“Pelabur asing mencatatkan pembelian bersih hanya pada satu hari dagangan, iaitu pada Jumaat dengan aliran masuk sebanyak RM132.3 juta.
“Aliran keluar terbesar dicatatkan pada Khamis berjumlah RM64.8 juta, manakala Rabu dan Selasa masing-masing merekodkan aliran keluar sebanyak RM26.8 juta dan RM25.8 juta,” katanya dalam nota penyelidikan.
Dari segi sektor, tiga sektor utama yang merekodkan aliran masuk bersih pelabur asing ialah perkhidmatan kewangan sebanyak RM162 juta, perladangan RM37 juta dan pembinaan RM34.2 juta.
“Sebaliknya, sektor teknologi mencatatkan aliran keluar bersih tertinggi berjumlah RM54.5 juta, diikuti sektor hartanah sebanyak RM45.2 juta dan utiliti RM41.7 juta,” katanya.
Dalam kalangan pelabur domestik, institusi tempatan merekodkan aliran keluar bersih sebanyak RM36.2 juta selepas dua minggu berturut-turut mencatatkan pembelian bersih.
Sementara itu, pelabur runcit tempatan kembali menjadi pembeli bersih selepas sembilan minggu berturut-turut mencatatkan jualan bersih, dengan aliran masuk berjumlah RM21.2 juta.
Seiring dengan bilangan hari dagangan yang lebih singkat, purata volum dagangan harian (ADTV) mencatatkan penurunan menyeluruh.
Volum dagangan pelabur runcit tempatan menurun sebanyak 19.7 peratus institusi tempatan susut 17.7 peratus manakala volum dagangan pelabur asing merosot sebanyak 23.5 peratus. – UTUSAN










