MSM rugi bersih RM366 juta pada suku keempat

MSM rugi bersih RM366 juta pada suku keempat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM) mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM366 juta pada suku keempat tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, berbanding untung bersih RM71.7 juta pada suku sama tahun sebelumnya.

Dalam makluman di Bursa Malaysia, pengeluar jenama gula halus Gula Prai berkata, kerugian suku tahunan yang ketara ini terutamanya disebabkan oleh rosot nilai bukan tunai aset bukan kewangan kumpulan berjumlah RM360 juta.

Semakan semula yang dijalankan selaras dengan piawaian perakaunan telah didorong oleh penilaian semula nilai aset berdasarkan keadaan operasi semasa.

Faktor utama yang mempengaruhi semakan tersebut termasuk peningkatan kerugian yang dicatatkan oleh MSM Sugar Refinery (Johor) Sdn. Bhd. (MSM Johor), sepanjang tahun, akibat penggunaan kapasiti yang lebih rendah daripada jangkaan dan permintaan jualan yang berkurangan.

Dalam pada itu, industri menjangkakan rasionalisasi rangka kerja penetapan harga untuk jualan produk yang tertakluk kepada kawalan harga.

Pada suku sama, anak syarikat FGV Holdings Berhad (FGV) itu melaporkan pendapatan kumpulan merosot 17 peratus kepada RM783.1 juta daripada RM943.6 juta tahun sebelumnya, terutamanya disebabkan oleh jumlah jualan yang lebih rendah dan harga jualan purata (ASP) yang lebih rendah.

Bagi keseluruhan tahun kewangan, MSM mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM397 juta berbanding untung bersih RM31.3 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya, manakala pendapatan sebanyak RM3.09 bilion daripada RM3.54 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSM yang baru dilantik, Dr. Aini Shahar, berkata, penjejasan nilai ini merupakan langkah perakaunan yang berhemat untuk menyelaraskan nilai bawaan aset MSM Johor dengan realiti semasa.

“Ia merupakan pelarasan bukan tunai, berdasarkan andaian terkini mengenai sokongan insentif dan prestasi loji dan ia akhirnya mengukuhkan kualiti dan ketelusan pelaporan kewangan kami.

“Pelarasan itu tidak memberi kesan serta-merta terhadap kecairan operasi Kumpulan. Tumpuan kami tetap teguh pada pelaksanaan. 

“Kami mengutamakan peningkatan jualan, prestasi kilang yang lebih baik dan disiplin kos yang ketat untuk membina profil pendapatan yang lebih berdaya tahan dan mampan,” katanya dalam kenyataan.

Menjelang masa hadapan, MSM menjangkakan persekitaran operasi akan kekal mencabar pada 2026 di tengah-tengah persaingan yang semakin sengit daripada gula import.

“Lebihan bekalan global dalam pasaran gula halus telah mengakibatkan lebihan di Malaysia, menyumbang kepada penguncupan bahagian pasaran MSM. Sebagai tindak balas, kumpulan sedang memperkemas dan mengoptimumkan operasinya sebagai sebahagian daripada usahanya untuk kembali kepada keuntungan.

“Dalam pada itu, kumpulan sedang giat bekerjasama dengan kerajaan untuk memuktamadkan rangka kerja penetapan harga yang mampan, yang bertujuan untuk melindungi keselamatan makanan negara dan menjamin masa depan industri gula tempatan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN