Matrix Concepts catat untung bersih RM50 juta 

Matrix Concepts catat untung bersih RM50 juta 

PENGASAS dan Timbalan Pengerusi Eksekutif Kumpulan, Matrix Concepts Holdings Berhad, Datuk Seri Lee Tian Hock (kiri) dan Pengerusi Matrix Concepts Holdings Berhad, Datuk Mohamad Haslah Mohamad Amin (kanan).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Matrix Concepts Holdings Berhad (Matrix Concepts) mencatatkan keuntungan bersih RM50 bilion bagi suku ketiga berakhir 31 Disember 2025, meningkat 15.5 peratus daripada RM43.3 juta pada suku sama tahun sebelumnya, disokong oleh portfolio pembangunan yang pelbagai serta pengoptimuman perbelanjaan operasi.

Hasil bagi suku tersebut meningkat 31.8 peratus kepada RM370.1 juta berbanding RM280.9 juta pada suku ketiga 2025, berikutan pengiktirafan hasil yang dipercepatkan merentasi pembangunan hartanah kumpulan, yang berkembang 34.5 peratus kepada RM355.8 juta. 

Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 31 Disember 2025, hasil meningkat 19.2 peratus kepada RM1.05 bilion, manakala keuntungan bersih naik 5.4 peratus kepada RM180.6 juta.

Sendayan Developments kekal sebagai penyumbang utama pendapatan kumpulan menyumbang RM259.5 juta pada suku ketiga 2026, meningkat 6.9 peratus tahun ke tahun. 

Levia Residence di Kuala Lumpur merekodkan hasil RM44.4 juta, melonjak 210.3 peratus daripada RM14.3 juta pada suku yang sama tahun lalu.

Bandar Seri Impian turut mencatat kemajuan lebih kukuh apabila sumbangan hasil meningkat 5.4 peratus kepada RM20.0 juta.

Hasil suku tersebut turut dirangsang oleh Horizon L&L susulan pengambilalihannya pada Ogos 2025, menyumbang RM25.4 juta kepada hasil serta mengukuhkan kehadiran Kumpulan di koridor Sepang dan Banting. 

Sementara itu, projek M333 St Kilda di Australia yang baru disiapkan menyumbang RM6.6 juta sepanjang suku berkenaan.

Melengkapi pembangunan hartanah terasnya, unit perniagaan lain kumpulan merangkumi pendidikan, hospitaliti dan penjagaan kesihatan secara kolektif menjana hasil RM14.3 juta, berbanding RM16.4 juta sebelumnya. 

Segmen pendidikan meningkat 2.8 peratus kepada RM6.7 juta berikutan pertambahan enrolmen pelajar, manakala segmen penjagaan kesihatan dan hospitaliti mengalami pengurangan hasil sementara disebabkan peluasan kapasiti yang sedang dijalankan di Mawar Medical Centre serta faktor bermusim dalam bahagian hospitaliti.

Pengerusi Matrix Concepts Holdings Berhad, Datuk Mohamad Haslah Mohamad Amin berkata, syarikat mencatat jualan industri yang memberangsangkan di MVV City, menandakan permintaan positif terhadap pemangkin pertumbuhan seterusnya bagi kumpulan dan menjangkakan pembangunan ini akan menyumbang secara progresif pada masa hadapan. 

“Dengan perancangan peluasan operasi di Kuala Lumpur serta segmen penjagaan kesihatan, kami kekal fokus untuk memperkukuh aliran pendapatan sedia ada di samping memperkenalkan sumber baharu bagi menyokong pertumbuhan mampan jangka panjang.

“Dengan penggabungan pembangunan utama ini bersama perbandaran matang kami, kami berada pada kedudukan strategik untuk mempercepatkan fasa pertumbuhan seterusnya. Kumpulan kekal komited untuk memberikan nilai mampan kepada para pemegang saham, berlandaskan portfolio yang semakin pelbagai,” katanya.

Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 31 Disember 2025, kumpulan merekodkan keuntungan bersih RM180.6 juta, meningkat 5.4 peratus daripada RM171.4 juta sebelumnya. 

Pertumbuhan ini dicapai berasaskan hasil RM1.05 bilion, lebih tinggi 19.2 peratus berbanding RM881.7 juta sebelumnya.

Jualan hartanah baharu kumpulan dalam tempoh sembilan bulan tahun kewangan 2026 meningkat 13.3 peratus kepada RM1.15 bilion, didorong oleh permintaan tanah industri di MVV City serta kadar pengambilan kediaman yang mampan merentasi pembangunan kumpulan. 

Kumpulan berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran pelancaran tahunan melebihi RM2.0 bilion, setelah berjaya melancarkan projek bernilai RM1.64 bilion dalam 9M26.

Sehingga 31 Disember 2025, jualan belum dibil berjumlah RM1.52 bilion, memberikan keterlihatan pendapatan yang kukuh bagi tempoh 15 hingga 18 bulan akan datang.

Selain itu, kumpulan mengisytiharkan dividen interim ketiga sebanyak 1.35 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026, dengan tarikh ex-dividen pada 19 Mac 2026 dan tarikh pembayaran pada 9 April 2026. 

Jumlah dividen terkumpul bagi 9M26 adalah 4.85 sen sesaham, mewakili jumlah pembayaran sebanyak RM91.0 juta atau 49.7 peratus daripada keuntungan selepas cukai (PAT) bagi sembilan bulan berakhir 31 Disember 2025.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN