TOKYO: Data rasmi yang dikeluarkan menunjukkan jumlah kelahiran di Jepun menurun untuk tahun ke-10 berturut-turut pada 2025, sekali gus menekankan cabaran baharu bagi Perdana Menteri, Sanae Takaichi.
Data awal daripada Kementerian Kesihatan menunjukkan sebanyak 705,809 bayi dilahirkan di Jepun, menurun 2.1 peratus berbanding 2024. Data ini merangkumi kelahiran bagi warganegara Jepun di dalam negara, kelahiran warga asing di Jepun, dan bayi yang lahir kepada warganegara Jepun di luar negara.
Sementara itu, sebanyak 505,656 pasangan berkahwin pada 2025, meningkat 1.1 peratus, manakala bilangan perceraian menurun 3.7 peratus kepada 182,969 kes.
Terdapat 1,605,654 kematian, menurun sebanyak 13,030 atau 0.8 peratus berbanding 2024.
Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri menganggarkan jumlah populasi Jepun pada Februari sebanyak 122.86 juta orang, menurun 0.47 peratus atau 580,000 orang berbanding setahun lalu.
Ekonomi keempat terbesar dunia ini mempunyai salah satu kadar kelahiran terendah di dunia, dengan populasi yang semakin menurun dan menua.
Keadaan ini menyebabkan pelbagai masalah, termasuk kekurangan tenaga kerja, peningkatan bil perkhidmatan sosial dan semakin kurang rakyat yang membayar cukai.
Kesannya, hutang Jepun yang besar terus meningkat ketika negara ini sudah mempunyai nisbah hutang tertinggi di kalangan ekonomi utama.
Data tahun lalu menunjukkan jumlah penduduk berumur 100 tahun ke atas hampir 100,000 orang, dengan hampir 90 peratus daripadanya wanita.
Populasi yang mengecil turut menjejaskan komuniti luar bandar. Jumlah rumah terbiar di Jepun kini sekitar empat juta sementara kajian terkini menunjukkan lebih 40 peratus perbandaran berisiko lenyap.
Pemimpin Jepun yang terdahulu, termasuk Takaichi yang juga wanita pertama menjawat jawatan perdana menteri, berjanji untuk meningkatkan kadar kelahiran, tetapi kejayaan masih terhad.
Kerajaan bandar Tokyo membangunkan aplikasi temu janji sendiri yang memerlukan pengguna mengemukakan dokumen membuktikan mereka masih bujang dan menandatangani surat bersetuju untuk berkahwin.
“Kadar kelahiran yang menurun dan populasi yang mengecil adalah satu darurat senyap yang secara beransur-ansur akan melemahkan daya hidup negara kita,” kata Takaichi di Parlimen minggu lalu.
Parti Berkuasa Liberal Demokratik (LDP) pimpinan Takaichi memenangi majoriti dua pertiga dalam pilihan raya mengejut pada 8 Februari.
Peningkatan pekerja asing boleh membantu membalikkan trend penurunan populasi Jepun dan masalah yang berkaitan dalam pasaran tenaga kerja.
Namun, di bawah tekanan parti Sanseito yang mengutamakan kepentingan ‘Jepun dahulu’, Takaichi dari sayap kanan berikrar mengambil langkah lebih tegas terhadap pendatang asing.
Kerajaan memaklumkan sedang berusaha membina ekonomi lebih kukuh bagi mengurangkan beban kos penjagaan anak untuk keluarga bekerja.
“Saya percaya terdapat beberapa kejayaan. Malangnya, kita masih belum berjaya membalikkan trend penurunan kelahiran ini.
“Saya percaya faktor penting adalah mencapai ekonomi yang kukuh,” kata Timbalan Setiausaha Ketua Kabinet, Masanao Ozaki kepada pemberita.-AFP










