PETALING JAYA: Malaysia merekodkan lebihan dagangan sektor perkhidmatan sebanyak RM1.15 bilion tahun lalu, iaitu yang pertama sejak 2011, sekali gus mengukuhkan peralihan negara ke arah ekonomi berasaskan perkhidmatan bernilai tinggi.
Pada masa sama, jumlah dagangan barangan negara turut melepasi paras RM3 trilion buat pertama kali dalam sejarah, mencerminkan daya tahan ekonomi yang kukuh sepanjang tahun lalu.
Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, pencapaian lebihan dagangan perkhidmatan itu merupakan titik perubahan penting buat negara.
“Prestasi 2025 menandakan kejayaan peralihan strategik ke arah ekonomi bernilai tinggi dan berasaskan pengetahuan.
“Dengan jumlah dagangan mencecah RM543.01 bilion, kami komited mengekalkan momentum ini menerusi inisiatif promosi eksport yang lebih agresif di pasaran utama dan baharu,” katanya dalam kenyataan.
Jumlah dagangan perkhidmatan meningkat 9.2 peratus kepada RM543.01 bilion berbanding 2024, dengan eksport mencatat paras tertinggi baharu sebanyak RM272.08 bilion, berkembang 12 peratus.
Import pula meningkat 6.4 peratus kepada RM270.93 bilion, sekali gus menjadikan imbangan keseluruhan mencatat lebihan RM1.15 bilion selepas 13 tahun berada dalam kedudukan defisit.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Matrade, Abu Bakar Yusof berkata, agensi itu akan terus memperluas akses pasaran antarabangsa khususnya kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di bawah pelan hala tuju 2026.
“Prestasi cemerlang sektor perkhidmatan turut disokong inisiatif eksport bersasar melalui penyertaan dalam ekspo antarabangsa seperti International Paris Airshow, Pameran dan Persidangan Petroleum Antarabangsa Abu Dhabi (ADIPEC), Pameran dan Persidangan Industri Semikonduktor Asia Tenggara (SEMICON) dan SEMICON West serta Minggu Penjagaan Kesihatan Antarabangsa Malaysia,” katanya.
Menurutnya, penyertaan dalam acara perdagangan berimpak tinggi itu selari dengan sektor bernilai tinggi yang digariskan dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
“Pertumbuhan eksport disokong peningkatan ketara dalam subsektor pelancongan, perkhidmatan perniagaan lain, telekomunikasi, komputer dan maklumat, pengangkutan serta penyelenggaraan dan pembaikan.
“Subsektor pelancongan berkembang 16 peratus kepada RM110.59 bilion, didorong kehadiran 42.2 juta pelawat antarabangsa sepanjang 2025 berbanding tahun sebelumnya.
“Perkhidmatan telekomunikasi, komputer dan maklumat pula melonjak 27.1 peratus kepada RM27.13 bilion, disumbangkan oleh perkembangan pesat ekosistem pusat data negara,” katanya.
Jelasnya, perkhidmatan perniagaan lain meningkat 14.1 peratus kepada RM48.66 bilion, mencerminkan permintaan yang semakin tinggi terhadap perkhidmatan profesional, pengurusan dan perundingan.
“Perkhidmatan penyelenggaraan dan pembaikan mencatat pertumbuhan paling ketara iaitu 34.2 peratus kepada RM7.67 bilion, selari dengan integrasi Malaysia yang semakin kukuh dalam rantaian bekalan serantau dan global,” katanya.
Tambahnya, melalui misi perdagangan berimpak tinggi serta Program Penyumberan Antarabangsa (INSP), agensi itu terus memperluas capaian global sektor perkhidmatan Malaysia.
“Usaha berterusan untuk meletakkan Malaysia sebagai hab utama perkhidmatan digital bernilai tinggi, pusat data dan perkhidmatan profesional, dilaksanakan secara strategik bersama pemain industri bagi memperkukuh kedudukan negara di pasaran antarabangsa,” katanya. – UTUSAN










