Anak muda bersihkan surau sempena Ramadan

Anak muda bersihkan surau sempena Ramadan

SEKUMPULAN anak muda yang membantu membersihkan Surau Al-Nur di Kampung Perak,Sungkap Para di Bukit Selambau, Sungai Petani, Kedah
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Sudah menjadi lumrah setiap tahun menjelang Ramadan, orang ramai akan berlumba-lumba melakukan ker­­ja kebajikan membersihkan masjid dan surau agar jemaah dapat melakukan ibadah de­ngan selesa.

Kesempatan sama diambil sekumpulan golongan muda daripada beberapa kampung di Sungkap Para apabila mereka bergotong-royong membersihkan Surau Al-Nur di Kampung Perak, Bukit Selambau di Merbok di sini.

Lebih bersemangat, apabila kumpulan seramai lebih 50 individu itu turut disertai oleh kumpulan ibu dan bapa di kampung berkenaan yang tidak mahu ketinggalan mendapatkan ganjaran pahala dengan sama-sama menyumbang tenaga memasak makanan dalam program sehari itu.

Pengerusi Jawatankuasa Su­rau Al-Nur, Badli Musa, berkata, inisiatif yang diambil kumpulan berkenaan menunjukkan contoh yang baik kepada anggota masyarakat.

“Surau kami telah didirikan lebih 30 tahun lalu dan dalam keadaan serba kekurangan serta banyak peralatan telah usang dan rosak. Sememangnya kami kekurangan dana untuk mengindahkan surau berikutan keseluruhan penduduk hanya bekerja kampung,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Katanya, dia bersyukur apabila golongan berkenaan telah membersihkan kawasan surau, menukar peralatan rosak, me­ngecat semula bangunan yang secara langsung meringankan beban selain memberi keselesaan sebarang penganjuran program sepanjang Ramadan tahun ini.

Sementara itu, Mohd. Nafis Ramlan, 20, berkata, dia terpanggil untuk mengambil peluang bersama-sama menyumbang tenaga dengan rakannya kerana dapat mengeratkan silaturahim dengan penduduk kampung.

“Konsep gotong-royong ini akan kami teruskan di lokasi lain kerana sebagai anak muda kami perlu menyumbang tenaga terutamanya di kawasan luar bandar,” katanya.

Bagi Mohd. Aqil Roslan, 27, yang mempunyai kemahiran dalam bidang elektrik berkata, dia memberi fokus menyelenggara sistem pendawaian dan peralatan pembesar suara di surau berkenaan yang telah usang.

“Selain membersih dan me­nu­kar sistem pendawaian yang agak lama kami juga mengguna­kan sistem pembesar suara yang terkini untuk memudahkan ah­li jawatankuasa surau menggunakannya. Syukur selepas ini jemaah dapat beribadat dan menganjur pelbagai aktiviti di surau ini dengan lebih selesa,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN